Followers

Usha-Usha

Artikel

Template Terbaru

"Ia Adalah Kehendak Allah S.W.T"


TIGA belas tahun dulu, Vicente Mota Alfaro adalah seorang penganut Katolik yang warak. Boleh dikatakan pada setiap kali perjumpaan hari Ahad di gereja tidak pernah beliau tidak hadir. Malah bukan itu sahaja, kitab Injil juga sentiasa menjadi teman setianya.

Pun begitu, tidak siapa menduga kini beliau bukan sahaja bergelar seorang saudara baru Muslim tetapi adalah seorang imam di masjid yang terdapat di dalam Pusat Kebudayaan Islam Valencia, Sepanyol.

Hakikatnya, Alfaro adalah satu-satunya mualaf yang mampu menyandang jawatan berprestij sebegitu serta mampu mengetuai jemaah Muslim di situ. Malah beliau juga adalah ahli Lembaga Pengarah Pusat Kebudayaan Islam Valencia sejak 2005.

Menurut ketua-ketua komuniti Muslim di Valencia, pelantikan Alfaro ke jawatan yang paling berpengaruh itu adalah kerana kelulusan serta pencapaian luar biasa beliau.

"Dia terpilih kerana ilmu pengetahuan agamanya yang luas," demikian akui Setiausaha Agung League of Dialogue and Coexistance, El-Taher Edda kepada IslamOnline. net.

Integrasi

Malah El-Taher percaya bahawa dengan pelantikan Alfaro itu, ia secara tidak langsung membawa mesej yang jelas perihal integrasi di kalangan golongan mualaf yang mengakui kebenaran yang dibawa Islam.

Apatah lagi, tampak ketara jumlah orang Sepanyol yang memeluk Islam bertambah sejak kebelakangan ini. Dengan laporan media tempatan yang mengatakan golongan intelektual, ahli akademik dan aktivis anti-globalisasi adalah antara ramai yang memeluk agama Islam.

Di Sepanyol dianggarkan kira-kira 1.5 juta penduduk minoriti Muslim daripada jumlah populasi penduduknya iaitu 40 juta orang. Ini menjadikan Islam adalah agama kedua terbesar selepas agama Kristian. Malah agama Islam telah diiktiraf menerusi peruntukan undang-undang kebebasan beragama yang diwartakan pada Julai 1967.

Menceritakan penghijrahan akidah Alfaro dari Kristian kepada Islam, ringkas jawapannya: "Ia adalah kehendak Allah SWT yang menjadikan saya hamba-Nya dan memilih Islam sebagai cara hidup saya."

Alfaro mengambil keputusan memeluk Islam ketika usianya 20 tahun dan masih belajar di peringkat sekolah menengah. "Saya membawa Kitab Suci al-Quran dan saya temui kebenaran tentang Nabi Isa sebelum kemudiannya melakukan syahadah," katanya.

Mengimbas zaman remajanya, akui Alfaro sungguhpun di kalangan teman-teman sekolahnya tidak berminat langsung dengan mana-mana agama kepercayaan, namun ia tidak menghalangnya untuk ke gereja pada setiap hari Ahad dan kerap membaca kitab Injil.

"Pada saat itu, pengetahuan saya tentang Islam adalah kosong," kata beliau.

Perbualannya dengan teman Muslim dari Algeria yang merupakan jiran adalah titik awal kepada agama Islam.

"Kami pernah bercerita di mana dia mengatakan bahawa semua manusia itu adalah daripada keturunan Adam dan Hawa dan manusia semua adalah anak Nabi Ibrahim.

"Saya agak terkejut bila mengetahui bahawa umat Islam dan bangsa Arab sebenarnya mengenali Adam, Hawa dan Nabi Ibrahim," jelasnya.

Menerusi perbualan itulah menjadi motivasi kepada anak muda Kristian ini untuk menggali lebih banyak maklumat berkaitan agama Islam.

"Perkara seterusnya yang saya lakuk- an ialah pergi ke perpustakaan dan meminjam kitab terjemahan al-Quran.

Berhati-hati...

"Setibanya di rumah, saya terus membawa kitab suci umat Islam dengan berhati-hati. Titik-tolak kepada perubahan Alfaro ialah apabila dia membaca tentang kisah Nabi Isa dan insiden penyaliban.

"Saya pernah terbaca di kitab Gospel di mana ia menyatakan bahawa Nabi Isa itu adalah anak Tuhan dan Tuhan menghantar anaknya ke bumi untuk dibunuh dan dan didera sebagai penyelamat kepada semua manusia. Yang sebenarnya, saya agak ragu untuk mempercayainya, " kenang Alfaro.

Namun, jawapan kepada keraguannya itu terjawab apabila dia membawa al-Quran. Barulah saya tahu bahawa Nabi Isa itu sebenarnya tidak dibunuh dan disalib.

Tambah pula, umat Islam percaya bahawa Nabi Isa itu juga sebagai salah seorang nabi yang agung dan meletakkannya ditempat yang terpuji.

Malah bagi menjelaskan tentang penyaliban Nabi Isa pula, Muslim mengakui dan percaya bahawa itu bukanlah yang sebenarnya berlaku, tetapi roh dan jasad Nabi Isa telah diangkat ke syurga.

Umat Islam percaya bahawa Nabi Isa akan dibangkitkan semula ke dunia sebelum tibanya Hari Kiamat bagi mengembalikan semula kedamaian, menentang golongan kemungkaran dengan membawa kebenaran.
Dipetik dari blog Muslim Territory

0 Kesan Parut: