Followers

Usha-Usha

Artikel

Template Terbaru

Itulah Natijah Kegagalanku Dahulu..


Tenangnya hatiku kini mendamaikan.Sedamai mengalirnya butiran pasir mengikut ombak yang lembut menghempas pantai seputih mutiara.Aku memandang ke langit.Putih memutih seperti pasir itu.Cantik sungguh ciptaanNya menewaskan ciptaan makhluk-makhluknya yang dungu dan buta menafsir akan ciptaanNya.Itulah yang ku perhati dulu dan kini.Dan saat ini aku makin sedar dan makin jauh dari koma kehidupan,bahawa setiap ciptaan Allah itu tiada tandingannya!


Dugaan,kegagalan,penewasan dan kejatuhan sesuatu yang menjadi asam garam dalam kehidupan.Tidak pernah ada manusia di dunia hidup senang bagaikan raja dari mula dilahirkan hinggalah ditalkinkan.Sedangkan bayi baru lahir juga diuji oleh Allah dengan gangguan syaitan seusai keluarnya dia dari bukaan faraj ibunya.Raja di dunia pun diuji dengan amanah menjaga kebajikan rakyat dan harta bendanya.Begitu juga dengan kita,senantiasa di uji Tuhan Yang Maha Esa,menilai sejauh mana tahap keimanan seseorang itu.Itupun kalau kita sedar!


Nah,aku pernah diuji.Dahulu Allah memberikan aku nikmat.Nikmat yang boleh dikatakan semua pelajar lepasan SPM mahukan iaitu melanjutkan pengajian ke seberang laut.Mereka hanya mampu memasang angan-angan namun aku diberi peluang secara langsung oleh Allah untuk ke negara bekas peninggalan Nazi iaitu Jerman.Masih aku ingat detik itu,gembira bukan kepalang aku di perpustakaan K.Matrikulasi Melaka,seusai mengetahui status ku layak memasuki program persediaan ke Jerman selama 2 tahun di German Malaysian Institute (GMI).Bukan main kembang hidungku.Begitu juga ibu bapaku berbangga memiliki anak sulung yang menjadi contoh dan teladan terbaik buat adik-adikku yang lain.


"Mak jangan risau k.Hanya 20% je pelajar GMI tak dapat pergi Jerman.Kantoi.Yang lain semua dapat fly.Faiz boleh je buat".Masih terngia-ngia dalam kotak fikiranku.Mak tersenyum walaupun dalam hatinya tidak terjamin kejayaan ku ke jerman jika tidak berusaha.Hari demi hari,minggu demi minggu dan bulan demi bulan.Mulai ku rasa keberatan di GMI.Pengajian bahasa Jerman+A Level+Praktikal ,3 dalam satu sesuatu yang amat memenatkan.Kelas bermula jam 8 berakhir jam 3 itu setiap harinya.Tiada kehidupan seorang pelajar untuk mengasah softskill mereka.Hanya menadah buku yang entah kemana merewangnya fikiran ini. Tidak dapat menumpukan perhatian kerana suasana sekitar yang bebas sebebas bebasnya!GMI di Cheras,semuanya berada di depan mata.Berumur 18-20 tahun umur yang begitu getir dalam kehidupan untuk mencuba segala rentak kehidupan.Menonton wayang,gamer dan sebagainya melalaikan aku dari dasar perjuanganku ke GMI.


Hinggalah satu saat aku mengetahui masih gagalku untuk ke Jerman setelah mengulang peperiksaan A-Level sebanyak 2 kali.Ah!Teruknya aku!Mana arah tuju ke kini?IPTA?Ibu bapaku sungguh kecewa.Dimana harus mereka meletakkan muka ini?Aku anak zalim mengecewakan mereka.Maafkan Faiz mak dan abah.Tiada rezeki untuk Faiz membawa segulung ijazah dari luar negara.Memang menjadi sejarah dari dahulu lagi,GMI yang kantoi seperti dicampakkan ke sebuah IPTS yang tidak segah namanya seperti UM mahupun UTM.Itulah di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).Walaupun pernah dihancurkan harapan mereka ibu bapaku,mereka masih memberikan semangat buatku untuk meneruskan saki baki perjuangan dalam menuntut ilmu di IPTS yang mahal yuran pengajiannya.Ku tiada pilihan lain.Di sinilah wadah baru perjuanganku untuk melaksanakan tanggungjawabku sebagai seorang anak dan khalifahNya!

Di sinilah bermula nya satu kehidupan baru bagai lahirnya seorang bayi ke dunia.Bergetar hati berkawan dengan rakan sekuliah yang semuanya pangkat adik-adikku.Jika aku SPM mereka semua baru nak PMR.Namun apakah dayanya,mereka lebih beruntung dari segi umurnya berbanding diri ini yang agak kelewatan memasuki tahun pengajian pertama dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.Satu semester berlalu,selain berjinak dengan dunia universiti,aku juga mula mencungkil bakatku dalam kepimpinan yang tidak diperolehi ketika di GMI.Bermula dengan bergiat aktif dalam PRS kemudian menjadi pengikut setia PPI dan SAQ,kini aku juga pernah mencurahkan bakti dalam program luaran seperti ISMA,Aman Palestin dan PEMBINA. 

Jika dahulu aku hanya menyimpan niat mahu menjadi sehebat abang-abang Fasi mahupun kakak-kakak Fasi,kini aku telah merasainya mungkin lebih dari mereka.Dan Allah bukakan jalan rezekiku dengan menyertai pelbagai program yang mendekatkan ku kepada masyarakat dan membentuk daya kepimpinan yang selama ini terpendam dalam lubuk hati yang dikunci rapat di GMI.2 Tahun ke di UNITEN,inilah serba sedikit pengilibatan ku dalam kokorikulum:

1)Urusetia Kem Mahasiswa Cemerlang PPI 2008
2)Peserta Community Service Masjid UNITEN 2008
3)Peserta Welcoming Break PRS 2007
4)Urusetia dan Fasilitator Kem Ibadah Anak Soleh 2008
5)Peserta Kem Kepimpinan Mahasiswa UNITEN 2008
6)Crew Forum "Apabila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung" 2009
7)Peserta Seminar Jatidiri Muslim 2008
8)Urusetia Induksi PPI 2009
9)Urusetia dan Fasilitator Kem Motivasi Perdana Felda-UNITEN 2009
10)Fasilitator Minggu Orientasi UNITEN Julai 2009
11)AJK Biro Media Sahabat Al-Quran
12)Exco DIO Persatuan Pengajian Islam
13)Sukarelawan Bulan SAVE GAZA anjuran AMAN PALESTIN
14)Urusetia program Kursus Pra-Perkahwinan UNITEN 2009
15)Peserta Mukhayyam SAQ di Melaka 2009


Begitulah serba sedikit penglibatan ku secara langsung sepanjang ku di UNITEN yang tidak bisa ku nikmati di GMI mahupun di MRSM Muar ku dahulu kala.Aku melihat Allah menyelamatkan ku dari bencana dan kesedihan yang lebih besar dimana aku mungkin mengalami kegagalan di Jerman.Tidakpun untuk menjaga imanku agar tidak terserong jauh jika berada di negara orang. Ah,syukur ya Allah.Hebat sungguh pengatur caraMu menguruskan hidupku.Kau berikan ku hempedu dahulu dan kemudiannya menghadiahkan aku madu yang manis dan lazat sekali yang tidak pernah terbayang dalam hidupku.Kini,akademik dan kokorikulum ku berjalan seiring dan sejalan.Masing-masing menampakkan kejayaan.InsyaAllah.

Buat sahabatku di luar sana.Jika kalian alami kegagalan sekali dua,janganlah terus berputus harap pada Illahi.Dia tuhan kita.Tidak akan jatuhkan ujian kepada hambaNya kerana Dia tahu hamba itu mampu memikulnya.Ujian yang ditempuh dengan penuh kesabaran akan dibalas dengan syurgaNya.Dunia ini semuanya fana semata-mata.Hanya ujian menjadi medan untuk melayakkan kita ke kanan atau ke kiri selepas di hisab kelak di akhirat.

Terima kasih kerana sudi berkongsi suka dan duka sahabat-sahabat yang menjadikan gedung ilmu maya di Destinasimu sebagai bahan rujukan dan santai di kala lapang mahupun sibuk. Ku melihat,banyak permasalahan yang dikongsi dengan semuanya berkaitan dengan hati dan harta benda.Sahabatku yang sakitnya di hati,hati itu sebenarnya bersih asalnya namun digelapkan dengan nafsu dan syaitan.Bersihkan hatimu kepada Allah,Rasul dan agamaNya.Permasalahan cinta menjadi intipati dalam perkongsian dan aku sebenarnya tidak selengkap mana dalam hal ini.Aku jua mempunyai kekurangan.Namun tersedayanya aku membantu kalian.Bercintalah kepada Allah dahulu sebelum kepada cinta akan makhlukNya.Masalah kewangan?Ah,sukar benar mahu menyelami masalah ini.Aku juga pernah terfikirkan siapakah yang akan mengurniakan rezeki menyambungkan pengajian selepas terkantoi di GMI.Namun duit boleh dicari namun masa dan peluang ke menara gading lagi sukar dicari.


Akhirnya Allah bukakan jalanku memperolehi pinjaman dari MARA.Itu rezeki ku.Kalian juga ada rezekimu.Cuma pantas atau lewat.Buatlah solat Dhuha dan Tahajjud.Bacalah ayat seribu dinar.InsyaAllah murahlah rezeki mu.Itu memang keperluan untuk hidup.Wang!Ya,kadang-kadang ia menjadikan manusia hambanya.Seperti tiada jalan keluar jiga dibelenggu dengan masalah ini.Yakinlah akan pertolonganNya.Dan kamu juga perlu mencari jalan penyelesaian yang halal di sisiNya.Allah tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan dia yang mengubah nasibnya terlebih dahulu!

Jika dahulu aku melihat masa depanku gelap gelita atas kegagalan ke Jerman,kini jalan itu dibuka seluasnya oleh Allah.Dan kini samada aku mahu memanfaatkan atau sebaliknya,semuanya bergantung padaku.Moga Dia tunjuki padaku jalan kebenaran!Bukanlah niat berbangga dengan apa telah berlaku ke atasku.Sesungguhnya ia menjadi kayu pengukur tahap kesyukuran ku kepadaNya.Aku gusar juga jika Dia menarik nikmat pemberianNya.Oleh itu betapa perlu aku dan kalian mensyukuri hatta sekecil zarah nikmat pemberianNya.Yakinlah pada diri sendiri dan yakinlah pada pertolonganNya.Kamu tidak keseorangan di dunia....
"Hati kecilku berdenyut mengucapkan Alhamdulillah ya Allah!"




1 Kesan Parut:

aQielahuZihan berkata...

-pada jalan berliku moga ALLAH luruskan langkahmu,tika langit dunia runtuh moga ALLAH teguhkan aqidahmu,jika kesusahan datang moga ALLAH kuatkan hatimu..pada hati yang gelisah moga ALLAH curahkan ketenangan dalam dirimu..moga kasih ALLAH bersamamu...-