Followers

Usha-Usha

Artikel

Template Terbaru

SIS vs Hukum Allah S.W.T


Serangan pemikiran yang berlaku ke atas Islam sekarang datang dari pelbagai penjuru. Jika ia datang dari Barat, itu adalah sesuatu yang wajar, tetapi yang menyedihkan, kadang-kadang ia dilakukan oleh golongan yang kononnya ingin membela Islam, tetapi sebenarnya dipenuhi oleh pemikiran kufur. Atas alasan memperjuangkan hak-hak wanita, Sisters In Islam (SIS) sekali lagi menunjukkan kelancangan mereka terhadap hukum Allah. Seperti biasa, gerakan feminis ini nampaknya tak pernah berhenti menyerang dan mempertikaikan hukum Islam yang sudah terlalu jelas kebenarannya, hukum apalagi jika bukan ’poligami’. Inilah salah satu hukum yang sentiasa menjadi agenda kuffar Barat untuk menyerang Islam, yang bagi mereka bertentangan dengan Hak Asasi Manusia. Kejayaan kuffar Barat di dalam merasuk pemikiran umat Islam ini ternampak jelas melalui perjuangan yang sama yang direalisasikan oleh SIS, satu gerakan yang bertopengkan Islam, walhal merupakan pemuja kepada pemikiran Barat. Bermula pada Januari 2007, SIS kini giat menjalankan soal-selidik untuk mengkaji kesan-kesan poligami ke atas institusi keluarga. Ianya bermula daripada projek induk yang telah dijalankan pada Mac 2005. Daripada objektif kajian yang telah digariskan, kajian itu kononnya dibuat bagi melihat apakah kesan poligami ke atas keharmonian, emosi, kewangan dan hubungan sosial di kalangan ahli-ahli keluarga yang ketua keluarganya mengamalkan poligami.

Sejak dari awal penubuhannya, SIS telah menjadikan ‘perjuangan hak-hak wanita’ sebagai agenda utama mereka. Di dalam hal poligami, SIS beranggapan bahawa poligami boleh mengancam kebahagiaan dan keharmonian institusi keluarga. Bertolak dari sini, mereka cuba untuk menjadi ‘heroin’ yang kononnya akan menyelamatkan wanita dari ditindas oleh golongan lelaki. Yang peliknya, tajuk pilihan mereka tetap poligami, seolah-olah dunia ini penuh dengan penindasan oleh lelaki yang berpoligami, dan dunia akan mengalami kehancuran jika perkara ini tidak disekat. Padahal, daripada fail-fail yang menimbun di Mahkamah, banyak sekali kes penderaan rumahtangga, perceraian, tuntutan nafkah, harta sepencarian, penjagaan anak dan bermacam pengabaian tanggungjawab oleh suami terhadap isteri berlaku di dalam kes-kes yang melibatkan perkahwinan monogami. Jadi, mengapa mereka tidak melakukan kajian terhadap amalan monogami? Apakah sebenarnya agenda mereka? Memperjuangkan hak-hak wanita atau memperjuangkan perkara yang dibenci oleh wanita? Bentuk soal-selidik yang dirangka itu dilihat akan mengarahkan kepada hasil yang mereka hasratkan, agar pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang untuk menyekat lelaki Muslim daripada melakukan poligami.

Persoalan seterusnya, mengapa SIS tidak melakukan soal-selidik ke atas lelaki-lelaki yang mempunyai wanita simpanan, maksudnya, ke atas wanita yang menjadi perempuan simpanan? Ini kerana, kebanyakan dari wanita yang menjadi perempuan simpanan sebenarnya sedar dan tahu bahawa mereka adalah ‘perempuan simpanan’, bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan mereka sebenarnya redha dan suka menjadi perempuan simpanan. Mungkin juga SIS tidak melakukan kaji selidik dalam hal ini kerana bagi SIS ini bukan satu penindasan ke atas wanita, sebab perbuatan haram yang dilakukan itu adalah atas dasar suka sama suka, apatah lagi jika mereka memang hidup bahagia melakukan perbuatan terkutuk itu. SIS lebih berminat kepada perbuatan yang tidak disukai oleh wanita (seperti poligami), walaupun halal, dan inilah yang dikatakan penindasan!

SIS Memesongkan Dalil

Beberapa kenyataan SIS yang dikeluarkan sebelum ini memperlihatkan sikap sebenar mereka terhadap isu ini. Salah seorang aktivis SIS, Ruzana Udin pernah mengatakan bahawa, “Kami mahukan sistem undang-undang yang ada pada hari ini menyekat amalan poligami di kalangan lelaki Muslim”. Melalui sumber yang sama, Setiausaha Eksekutif Women’s Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah mendakwa poligami tidak lagi sesuai diamalkan pada zaman ini. Di samping itu, Ruzana Udin juga pernah mengeluarkan hujah dengan mengatakan bahawa Rasulullah sendiri tidak menggalakkan amalan poligami. Dia merujuk kepada satu hadis tentang bagaimana Rasulullah melarang Saidina Ali ra. dari ‘menduakan’ isterinya, iaitu Fatimah binti Muhammad. Tambahnya lagi, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak memilih wanita muda dan lebih cantik untuk baginda kahwini seperti yang sedang diamalkan oleh lelaki Muslim di Malaysia” [AFP, 4/3/2003]. Pengarah Eksekutif SIS, Zainah Anwar pula mengatakan bahawa, “poligami bukanlah hak mutlak bagi lelaki dan monogami adalah amalan yang menjadi kebiasaan. Amalan poligami selalunya akan menghakis kebahagiaan sesebuah keluarga.” [AFP, 17/3/2003]

Menurut seorang lagi aktivis SIS, Zaitun Mohamed Kasim, dalil daripada Al-Quran yang membenarkan seseorang lelaki Muslim untuk melakukan poligami sebenarnya disertakan dengan pra-syarat bagi lelaki untuk berlaku adil. Dia memetik pra-syarat tersebut berdasarkan petikan ayat: “Kemudian jika kalian khuatir tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja. [TMQ an-Nisa’(4):3] [Seminar ERA Consumer on 26th September 2002, Dungun]. SIS juga mendakwa, An-Nisa ayat 3 diturunkan untuk membenarkan kaum lelaki Muslim berpoligami kerana pada ketika itu, ramai di kalangan isteri-isteri di Madinah yang kehilangan suami kerana mati syahid di dalam Perang Uhud. Daripada penafsiran SIS, ‘berlaku adil’ itu adalah pra-syarat bagi mana-mana lelaki Muslim yang hendak melakukan poligami. Jika mereka tidak mampu untuk berlaku adil, maka mereka tidak boleh meneruskan niat mereka untuk berpoligami.

Hujah SIS tidak terhenti setakat itu sahaja. Kalau boleh, mereka ingin terus menghentikan amalan poligami. Ini adalah kerana, pada pandangan mereka tidak seorang pun lelaki di dunia ini yang mampu berlaku adil. Mereka menyandarkan pandangan tersebut kepada firman Allah yang bermaksud, “Kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian” [TMQ an Nisa’ (4):129]. Daripada penafsiran SIS, ayat ini membuktikan bahawa tidak ada mana-mana lelaki di muka bumi ini yang akan mampu untuk bersikap adil terhadap isteri-isteri mereka. Dan disebabkan ‘berlaku adil’ itu adalah satu pra-syarat, serta tidak ada mana-mana lelaki Muslim yang dapat memenuhi pra-syarat tersebut, maka amalan poligami ini mesti dihentikan sama sekali.

Makna Dan Penjelasan Sebenar Dalil

Inilah cara pemikiran kufur yang ada pada SIS. Apabila mereka membenci sesuatu perkara, maka mereka mencari dalil untuk membenarkan hujah mereka. Al-Quran ditafsir agar sesuai dengan kehendak mereka. Dengan kata lain, tafsiran dibuat berpandukan akal dan hawa nafsu serta dilakukan dalam rangka untuk merubah hukum Allah, bukan untuk memahaminya. Para mufassirin, imam-imam mazhab dan para ulama telah lama menafsir dan menjelaskan ayat-ayat tersebut dan mereka tidak pernah berselisih mengenainya. Sebenarnya jika ditanya, antara tafsiran para ulama dan tafsiran SIS, yang manakah perlu diikuti? Kami yakin semua orang sudah mengetahui jawapannya. Jika hendak dibandingkan di antara imam-imam mazhab yang tidak pernah diragui ketinggian bahasa Arab mereka, keikhlasan, keilmuan dan dekatnya mereka dengan Allah, dengan pihak SIS, semua orang tentunya telah dapat menilai yang mana racun dan mana penawar, mana intan dan mana kaca, mana hidayah dan mana dhalalah. Namun demikian, kami akan tetap menerangkan tafsiran yang sebenar agar Allah mencurahkan hidayahNya kepada mereka yang ikhlas ingin memahami dan beramal dengannya.

Penafsiran tentang tindakan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang melarang Saidina Ali ra. untuk berpoligami bukanlah bermakna Rasulullah tidak menggalakkan atau jauh sekali melarang poligami. Hadis tersebut mestilah dilihat secara menyeluruh dengan mengaitkan dengan hadis-hadis yang lain. Menafsirkan hanya sebahagian daripada hadis tersebut, akan menyebabkan seseorang itu terjerumus kepada kesalahan kefahaman yang serius. Memang benar Rasulullah telah melarang Saidina Ali ra. untuk ‘menduakan’ puteri Rasulullah. Berikut adalah riwayatnya : Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam amat marah ketika mendengar puteri beliau, Fatimah binti Muhammad, akan ‘dimadukan’ oleh Ali bin Abi Thalib ra. Ketika mendengar berita tersebut, Nabi terus masuk ke masjid lalu menaiki mimbar dan berseru: ‘Beberapa keluarga Bani Hasyim bin al-Mughirah (kerabat Abu Jahal) meminta izin kepadaku untuk mengahwinkan puteri mereka (anak Abu Jahal) dengan Ali bin Abi Thalib. Ketahuilah, aku tidak akan mengizinkan, sekali lagi aku tidak akan mengizinkan. Sungguh tidak aku izinkan, kecuali Ali bin Abi Thalib menceraikan puteriku terlebih dahulu, Fatimah adalah sebahagian dari diriku, apa yang mengganggu dirinya mengganggu diriku, dan apa yang menyakiti hatinya menyakiti hatiku” [Jâmi' al-Ush?l, juz XII, 162, Hadits 9026].

Berdasarkan penerangan Imam Nawawi, perkara utama yang hendak disampaikan di dalam riwayat ini bukanlah berkaitan poligami. Ia berkaitan hasrat Saidina Ali ra. untuk memadukan isterinya, Fatimah binti Muhammad bersama puteri Abu Jahal. Kemarahan Rasulullah bukanlah berkaitan perbuatan poligami yang hendak dilakukan oleh Ali ra, tetapi ia berkaitan mempersatukan puteri Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan puteri musuh Allah iaitu Abu Jahal [rujuk Syarah Hadis Muslim Li Nawawi]. Di dalam sebuah hadis lain, perkara ini telah diterangkan lagi yang mana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah menegaskan bahawa baginda tidak mengharamkan apa yang halal dan menghalalkan yang haram. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, ".....Dan sungguh aku tidak mengharamkan yang halal dan tidak pula menghalalkan yang haram, akan tetapi, demi Allah, jangan sekali-kali bersatu puteri Utusan Allah dengan puteri musuh Allah." [HR. Bukhari]

Oleh itu, kita perlu memahami bahawa larangan di dalam Hadis di atas adalah larangan untuk memadukan antara puteri Rasul Allah dengan puteri musuh Allah, bukannya larangan untuk berpoligami. Tambahan lagi, larangan ini bersifat khusus kepada Ahli al-Bait Rasulullah sahaja dan berlaku di dalam kes ini sahaja, berdasarkan lafaz yang jelas disebut oleh Rasulullah. Dengan kata lain, hadis ini langsung tidak ada kena mengena atau lebih tepat bukan larangan berpoligami oleh Rasulullah kepada umatnya. Ini boleh diperjelaskan lagi dengan ramai di kalangan sahabat seperti Abu Bakar dan Umar sendiri adalah mereka yang mengamalkan poligami, yang tidak pernah dicegah oleh Rasulullah.

Berkenaan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Nikahilah oleh kamu wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga, atau empat. Akan tetapi, jika kamu khuatir tidak akan dapat berlaku adil maka nikahilah seorang saja.” [TMQ An Nisa' (4):3),

Kebenaran berpoligami di dalam ayat ini bersifat mutlak. Ia bukanlah diturunkan semata-mata untuk membenarkan isteri-isteri yang kehilangan suami ketika Perang Uhud dikahwini sebagai isteri kedua, ketiga atau keempat. Ia diturunkan adalah untuk menghadkan bilangan maksimum isteri kepada empat orang. Ini adalah kerana, sebelum ayat ini diturunkan, Islam membenarkan seseorang lelaki Muslim mempunyai lebih daripada empat orang isteri sehingga tidak ada dalil yang menghadkannya. Ayat ini kemudiannya diturunkan untuk membataskan jumlah tersebut kepada empat orang.

Berkenaan meletakkan ‘berlaku adil’ sebagai pra-syarat untuk membolehkan seseorang lelaki Muslim berpoligami seperti mana yang diutarakan oleh Zaitun Mohamed Kasim, hujah ini ternyata timbul dari golongan yang tidak memahami nas dengan benar. Ia juga timbul hasil dari sikap suka ‘mencari dalih’ bagi menyatakan Islam menyekat poligami. Padahal bagaimana mungkin seseorang lelaki Muslim ingin membuktikan bahawa dia mampu berlaku adil jika dia tidak diberikan peluang untuk berpoligami? Adapun firman Allah, “Kemudian jika kamu khuatir tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja” [TMQ an Nisa’(4):3], sebenarnya maksud ‘berlaku adil’ di dalam ayat ini bukan merupakan ‘pra-syarat’ untuk berpoligami, tetapi ‘berlaku adil’ itu adalah suatu perintah/hukum berasingan yang dikenakan ke atas lelaki Muslim yang mengamalkan poligami, bukannya syarat ke atas poligami itu sendiri. Dengan kata lain, mana-mana lelaki yang gagal berlaku adil (setelah berpoligami) adalah berdosa. Ini kerana dia telah tidak mematuhi perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala agar ‘bersikap adil’ di dalam perkahwinan poligaminya. Maka mereka akan dihukum sesuai dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Tambahan lagi, jika dikaji surah al-Nisa ayat 3 di atas, ia menunjukkan bahawa terdapat petunjuk bahawa kebenaran poligami itu tidak digabungkan dengan perintah bersikap adil. Ini ditunjukkan melalui ungkapan, “Nikahilah wanita-wanita (lain) yang kalian senangi dua-dua, tiga-tiga, atau empat-empat”. Ayat ini mengandungi pengertian mengenai kebolehan berpoligami secara mutlak. Ayat ini sendiri telah pun sempurna sebagai satu ayat. Manakala kemudiannya barulah disambung, “Kemudian jika kamu khuatir…”, di mana kalimat ini merupakan kalimat yang berasingan dan tidak ada hubungan terus dengan kalimat sebelumnya iaitu ia sebagai kalam mustaknif (kalimat lanjutan). Jika ia menjadi syarat, maka ayat tersebut sudah tentu berbentuk lain, umpamanya, “Nikahilah wanita-wanita yang kalian senangi dua-dua, tiga-tiga, atau empat-empat asalkan/jika kalian dapat berlaku adil”. Tetapi ternyata, kefahaman ayat itu bukan sedemikan. [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Nizamul Ijtima’i Fil Islam]

Hukum poligami dan ‘bersikap adil’ datang sebagai satu ‘pakej’. Pakej ini tidak ditawarkan secara berasingan. Maksudnya jika hendak berpoligami, mestilah berlaku adil. Sekiranya hendak berpoligami tetapi tidak mahu bersikap adil, maka adalah lebih baik seseorang lelaki itu untuk tidak berpoligami. Masakan hendak berpoligami tetapi enggan bersikap adil. Inilah yang dimaksudkan dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala melarang lelaki Muslim untuk berkahwin lebih daripada seorang isteri jika mereka khuatir tidak mampu bersikap adil.

Adapun firman Allah,

“Kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian” [TMQ an-Nisa’ (4):129],

Ayat ini juga turut diketengahkan oleh Zaitun Mohamed Kasim sebagai hujah untuk membuktikan bahawa tidak ada lelaki yang mampu bersikap adil. Inilah natijah dari penafsiran akal yang dipandu oleh hawa yang dibuat oleh pihak SIS. Mereka menafsirkan makna ‘adil’ mengikut kehendak hawa mereka, bukannya merujuk kepada nas. Walhal terdapat banyak Hadis Rasulullah yang menjelaskan maksud ‘adil’ dalam ayat di atas. Maksud adil di dalam ayat di atas sebenarnya berhubung dengan keadilan pembahagian cinta dan kasih sayang. Maksudnya, seseorang lelaki itu sesungguhnya tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isterinya di dalam pembahagian cinta dan kasih sayang. Merujuk kepada ayat di atas, Ibn’ Abbas ra. menjelaskan bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menyatakan: “Yakni di dalam masalah cinta dan persetubuhan’.

Imam Ibnu Katsir menjelaskan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri lebih cenderung terhadap (mencintai) ‘Aisyah berbanding isteri-isterinya yang lain, berdasarkan beberapa hadis riwayat Imam Ahmad dan Ahli Sunan yang lain [Tafsir Al-Quran Al-Azim, I/696]. Meskipun demikian, ia tidak mengakibatkan hak-hak isteri yang lain terabai. Keadilan yang diwajibkan kepada seseorang suami adalah bersikap seimbang di antara para isterinya sesuai dengan kemampuan yang ada pada dirinya. Ini termasuklah di dalam hal giliran bermalam, memberi makan, pakaian dan tempat tinggal dan lain-lain yang berkaitan. Jika pihak suami gagal berlaku adil di dalam hal-hal ini, maka mereka boleh dihukum.

Kaji Selidik – Mengkaji Yang Salah

Soal selidik yang dijalankan oleh SIS sebenarnya tidak boleh digunakan sebagai tolok ukur untuk menentukan status kedudukan hukum poligami. Hukum syara’ adalah di tangan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan manusia langsung tidak boleh campur tangan di dalamnya. Apa yang wajib dilakukan oleh manusia hanyalah mendengar dan taat (sami’na wa atha’na) sahaja. Hanya Allah sahaja yang berhak menentukan manakah yang baik atau buruk bagi manusia. Yang pasti, setiap hukum Allah adalah baik dan tidak akan ada keburukan di dalamnya. Sebagai contoh, hukum perang (jihad) adalah baik, walaupun ia mungkin mengakibatkan kecederaan, kehilangan nyawa, anak menjadi yatim, isteri menjadi janda dan sebagainya. Bukanlah hak manusia untuk menjalankan kaji selidik ke atas hukum Allah dan membuat keputusan baik dan buruk terhadapnya. Jika ada perkahwinan poligami yang nampak buruk sekalipun, itu tidak lain adalah kesalahan manusia (sama ada suami atau isteri) yang tidak mematuhi hukum syara’ di dalam perkahwinan tersebut, bukannya keburukan atau kesalahan hukum poligami itu sendiri. Maksudnya, jika suami yang berpoligami tidak berlaku adil (sebagaimana dituntut oleh syara’) maka yang buruk di dalam kes ini adalah suami itu sendiri, bukan poligaminya. Maka suami tersebut perlu dihukum dan dinasihati, bukannya hukum poligami itu yang perlu dihapuskan.

Di sinilah kekeliruan dan kesalahan SIS. Mereka cuba menundukkan hukum syara’ mengikut selera mereka. Oleh sebab kebencian mereka kepada poligami, maka mereka cuba mencari bukti yang menunjukkan keburukan poligami. Hakikatnya, mereka buta bahawa jika kehidupan berpoligami itu benar-benar mendatangkan masalah sekalipun, yang menjadi masalah adalah manusia yang mengamalkannya, bukan hukumnya. Manusia itulah yang wajib diperbetulkan. Menilai baik dan buruk kehidupan berpoligami dengan melihat kepada mereka yang hidup tanpa berpegang kepada hukum Islam adalah satu kesilapan besar. Sama seperti kita ingin mengkaji baik dan buruknya memakai tudung, tetapi kita bertanya kepada SIS. Samalah juga kalau kita ingin tahu baik dan buruk teroris, kita bertanya kepada George W. Bush. Pendek kata, ingin tahu jalan yang lurus, tetapi bertanya kepada si buta!

Inilah bentuk kajian yang dilakukan oleh SIS, atas alasan kononnya memperjuangkan hak wanita. Yang anehnya, banyak lagi hukum syara’ yang jelas-jelas diperintahkan oleh Allah ke atas manusia, sama ada lelaki atau perempuan, kenapa SIS tidak memperjuangkannya? Jika benar SIS adalah pejuang Islam, khasnya untuk kaum hawa, apakah SIS begitu jahil tidak mengetahui bahawa memakai tudung itu wajib bagi Muslimah? Kenapa hukum yang wajib ini tidak diperjuangkan oleh SIS? Atau SIS ingin merubah hukum Allah sekali lagi dengan menyatakan bertudung itu hanyalah satu fesyen atau tradisi, bukannya satu kewajipan? Kebiadaban SIS dalam usaha merubah hukum Allah ini jelas terlihat dari kata-kata seorang aktivis SIS, Norani Othman, yang menyatakan bahawa poligami adalah satu perkara yang sudah ketinggalan zaman [BH 31/01/07, memetik apa yang diucapkan oleh Noraini di dalam rancangan Wanita Hari Ini di TV3 pada 5 Januari lepas].

Jika inilah pemikiran yang ada pada SIS, maka ini memang tidak ubah dengan pemikiran yang ada pada orang-orang kafir, malah lebih buruk, sebab sebahagian besar dari orang kafir itu sendiri memahami bahawa memakai tudung itu adalah wajib di dalam Islam. Bagi manusia yang tidak mahu mematuhi hukum Allah, Allah swt mengingatkan,

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ayat-ayat Allah); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. [TMQ Al-A’raf (7):179]

Wahai kaum Muslimin! Syariat Islam yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala bertujuan untuk menyelesaikan masalah manusia. Ini termasuklah kebenaran yang Islam berikan kepada lelaki Muslim untuk mempunyai lebih daripada seorang Isteri. Ia adalah suatu bentuk penyelesaian kepada permasalahan dan bukannya punca kepada permasalahan. Ingatlah! Islam itu sempurna dan langsung tidak ada kecacatan atau kekurangan di dalamnya. Sesungguhnya yang menjadi punca kepada masalah adalah apabila manusia itu tidak menerapkan hukum syara’ di dalam kehidupannya. Tingkah laku manusia yang tidak berhukum dengan hukum Allah, inilah yang menjadi punca kepada segala kerosakan.


Wahai kaum Muslimin! Pemikiran-pemikiran yang diperjuangkan oleh SIS adalah pemikiran-pemikiran yang selari dengan pemikiran dan kehendak Barat. Inilah golongan yang memuja Barat dan dipuji oleh Barat. Golongan ini juga diangkat oleh pemimpin-pemimpin yang sekular sebagai golongan yang kononnya memperjuangkan Islam. Jadi tidak hairanlah jika gerakan sebegini terus hidup dan bebas mengeluarkan pendapat walaupun bertentangan dengan Islam. Walau bagaimanapun kami yakin bahawa sebahagian besar dari umat Islam menolak dan membenci golongan ini. Hanya mereka yang cintakan kekufuran akan mencintai golongan ini. Semoga laknat Allah akan terkena ke atas golongan yang merubah hukumNya dan semoga mereka mendapat azab yang pedih. Sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Maha Membalas segala perbuatan keji orang-orang yang merubah agamaNya. Ya Allah! Hinalah mereka yang menghina agamaMu, hukumlah mereka yang merubah hukum-hukumMu. Amin ya Rabbal ‘alamin.

Nukilan asli dari http://seruan2.blogspot.com/...

0 Kesan Parut: