Followers

Usha-Usha

Artikel

Template Terbaru

Rambo,Wira Usang Amerika dan propaganda di sebaliknya...


Seorang lelaki berjalan di sebatang lebuhraya yang sunyi sambil menggalas beg. Kemudian sebuah kereta sherif berhenti dan menahan lelaki tersebut. Sebilah pisau perang ditemui. Lelaki itu segera diheret ke balai polis. Di situ lelaki itu didera oleh sheriff dan pegawai-pegawainya. Masih terkenang bagaimana pisau tajam itu menghiris sehelai kertas. Bermulalah era wira solo Amerika Syarikat – John Rambo!

Menonton filem Rambo bagi generasi yang menjadi remaja dan belia pada tahun 1980-an meninggalkan nostalgia tentang kekaguman melihat wira yang berjuang bersendirian. Mempamerkan otot-otot serta pergerakan lasak yang mengkagumkan. Cukup untuk memperlihatkan wira hebat Amerika Syarikat yang kembali dari Perang Veitnam. Rambo, veteran Perang Vietnam yang mempunyai darah kacukan Red Indian dan Jerman. Rambo, veteran Perang Vietnam yang dihantui peristiwa silam. Rambo, mesin pembunuh yang senyap dan terlatih.

Sylvester Stallone muncul menjadi wira aksi Hollywood terulung selepas beberapa lama menjadi pelakon kelas dua yang gagal dalam filem-filemnya sebelum ini. Rambo cukup popular dan meninggalkan kesan yang besar kepada peminat-peminat filem aksi ketika itu. Kemudian Rambo muncul lagi dalam Rambo 2 dan Rambo 3, yang berjuang di Afghanistan hingga ke Rusia. Tetapi kedua-dua sekuel ini tidak dapat menandingi Rambo yang pertama. Kini selepas begitu lama, Rambo muncul lagi untuk mengembalikan nostalgia wira Perang Vietnam yang masih berperang walau Amerika Syarikat telah bergerak maju menjarah di Afghanistan dan Iraq. Kali ini Rambo berperang di Burma. Rambo menjadi wira dari ‘old school’ yang masih berperang dengan panah dan pisau di hutan rimba Burma.

Tidak sukar bagi Rambo kali ini selain daripada menampilkan klise ‘white man burden’ yang memperlihatkan bangsa selain daripada kulit putih ialah bangsa liar, bertindak seperti binatang, tidak berakal fikiran dan perlu dihapuskan dari muka bumi. Bangsa kulit putih pula ialah bangsa penyelamat dunia, yang maju dan paling ‘manusia’. Sentiasa berkorban untuk kebaikan dan membawa pencerahan kepada seluruh umat manusia. Untuk itu Rambo kali ini membawa motto, “live for nothing, die for something”. Menyelamatkan tebusan adalah sebab-akibat yang diulang-ulang dalam klise filem aksi perang Hollywood sejak berdekad-dekad lamanya. Kali ini Rambo mengulanginya lagi, menyelamatkan mubaligh Kristian yang membawa misi ubatan dan sebagainya ke perkampungan puak Karen di pedalaman Burma. Tentunya seperti dijangka Rambo akan menang dan ribuan musuh yang dungu mati bergelimpangan menentang seorang Rambo. Mengubah sedikit klise itu, Rambo kali ini disertai oleh sekumpulan komando upahan.

Hal sebegini sedikit sebanyak adalah propaganda atau dakyah yang cuba diindoktrinisasikan ke dalam jiwa masyarakat yang ingin mereka jajah atau boleh disebut sebagai ‘masyarakat kawalan’. Mengapakah perlu wujud masyarakat kawalan ini? Ini adalah kerana kehadiran pihak yang ingin mengawal pihak yang lain demi kepentingan kuasa dan ekonomi mereka. Dalam konteks dunia sekarang ini, Amerika Syarikat muncul sebagai kuasa unipolar setelah kejatuhan Russia. Demi untuk mengekalkan apa yang dicapainya, Amerika Syarikat tentunya mengambil tindakan untuk mengekalkan kuasa dan pengaruh mereka. Tindakan untuk mengekalkan pengaruhnya itu memerlukan Amerika Syarikat memperlihatkan kepada dunia bahawa mereka bukan manusia tetapi adalah dewa!

Satu-satunya jalan untuk memperlihatkan sifat dewa mereka itu ialah menggunakan pengaruh dan gelombang media secara besar-besaran. Maka filem adalah salah satu cara yang berkesan untuk tujuan ini. Pemaparan citra ‘white man burden’ ini pada hakikatnya ingin memaparkan hubungan antara tuan dan hamba. Tuan tentulah seorang yang maju, berfikiran dan berkuasa. Sedangkan hamba tentulah seorang yang mundur, kurang berakal dan terjajah. Maka hubungan tuan-hamba inilah yang mahu dicapai oleh golongan kulit putih khususnya Amerika Syarikat. Menampilkan sifat dewa kepada wira-wira kulit putih di dalam filem adalah sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan hubungan tuan-hamba dalam situasi kehidupan sekarang ini. Dengan wujudnya hubungan sebegitu, bangsa kulit putih tentunya dapat tampil berdiri sebagai bangsa yang berkuasa. Dengan itu mereka boleh meletakkan kawalan secara tidak langsung ke atas manusia lain di dunia yang ingin mereka kuasai ini.

Dalam meletakkan kawalan ini, apa yang pertama perlu dilakukan iailah melumpuhkan intelektualiti masyarakat yang ingin dijajah itu. Walaupun filem boleh menjadi satu saluran bagi mengembangkan intelektualiti kreatif manusia tetapi filem juga boleh wujud sebagai salah satu alat yang paling berkesan untuk melumpuhkan intelektualiti manusia. Antara bentuk filem yang boleh melumpuhkan daya berfikir manusia ialah filem-filem yang menanamkan doktrin tertentu. Dalam konteks filem Hollywood, antaranya ialah memberikan kepercayaan yang berulang-ulang bahawa Amerika Syarikat dan kuasa Barat adalah superpower yang tidak mungkin terkalahkan. Menanamkan doktrin yang memberikan kepercayaan bahawa hubungan moral dan agama tidak memainkan peranan penting dalam masyarakat melalui filem-filem seks bebas dan sebagainya. Menanamkan doktrin bahawa satu-satunya cara dan kaedah terbaik untuk maju ialah mengikut acuan Barat. Menanamkan doktrin bahawa masyarakat Barat adalah masyarakat superioriti yang bersifat ‘dewa’ melalui penampilan wira-wira Barat yang sentiasa memenangi konflik dengan bergaya. Menanamkan doktrin bahawa masyarakat selain Barat adalah masyarakat yang lemah dan sentiasa memerlukan penyelamat dari Barat. Ini adalah sebahagian doktrin yang disebarkan oleh Hollywood dalam menyumbang kepada usaha melumpuhkan daya fikir atau intelektualiti manusia selain daripada menyebarkan gelombang hedonisne melalui hiburan dan keriaan tanpa batasan. Dan penentu kepada kejayaan penyebaran atau penanaman doktrin ini ialah pengeluaran besar-besaran dan melambakkannya pada setiap saat dan ketika di semua bahagian dunia.

Keinginan dan jiwa penjajah bangsa kulit putih untuk lahir sebagai bangsa yang unggul walau bagaimanapun menjadi tidak semudah seperti yang mereka jangka. Apatah lagi dengan seorang Rambo wira dari Perang Vietnam yang kini bukan terpaksa berjuang meletakkan dirinya bersaing dengan wira-wira baru yang lebih canggih tetapi juga terpaksa berjuang untuk menegakkan imej Amerika Syarikat (AS) yang telah hancur di mata dunia. Walau apa yang dilakukan oleh Rambo, AS tidak akan mampu lagi untuk muncul sebagai dewa penyelamat, sebaliknya imej AS lebih ketara untuk muncul sebagai syaitan pemusnah, setelah kerosakan dan kejahatan yang dilakukannya di seluruh dunia.

Tidak dinafikan Hollywood juga melahirkan filem-filem terbaik selain daripada filem propaganda murahannya. Namun Rambo 4, hanya mampu menampilkan wira usang yang bukan sahaja bergelut untuk menebus popularitinya yang pudar tetapi juga berjuang untuk mencari imej wira tentera AS dari celah-celah wajah kesyaitanan sebenar tentera AS. Rambo mungkin muncul sebagai pemenang dalam ceritanya, tetapi di mata penonton Rambo adalah wira usang yang telah lama tewas.

Nukilan Buat Sahabat oleh,
Mohamad Khairil Faiz bin Sapari...

0 Kesan Parut: