Followers

Usha-Usha

Artikel

Template Terbaru

Penghujahan Masalah Bidaah (Yang Menolak Bidaah Hasanah)..mana satu pilihan sahabat?

Muqaddimah

Masalah pembahagian bidaah merupakan satu perbincangan yang amat penting di dalam Islam. Umumnya, rata-rata masyarakat kini memandang pembahagian atau perbincangan berkenaan bidaah adalah cuma satu masalah furu', tidak perlu diperbincangkan lagi.

Namun pada hakikatnya, dosa melakukan bidaah adalah lebih berat berbanding dosa-dosa besar seperti mencuri, membunuh dan minum arak. Ini kerana dosa bidaah senantiasa berpaut erat dengan melibatkan iktiqad seseorang. Bahkan ada dosa bidaah yang secara langsung disertai dosa syirik. Firman Allah s.w.t.:


"Andaikata kamu berlaku syirik maka hancurlah segala amalanmu"

Surah Az-Zumar ayat 65.

Sufyan ats-Tsauri telah berkata :

"Bidaah itu lebih disukai iblis daripada kemaksiatan, pelaku maksiat masih ingin bertaubat dari kemaksiatannya, sedangkan pelaku bidaah tidak ada keinginan untuk bertaubat dari kebidaahannya."

Ini adalah kerana pembuat bidaah merasakan perbuatannya baik, dan dengan perbuatan bidaah itu dia bermaksud untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. Oleh kerana itu pelaku bidaah tidak pernah terfikir untuk bertaubat kepada Allah dari perbuatannya bahkan dengan kebidaahannya dia mengharapkan pahala. Firman Allah s.w.t. :

"Maka apakah orang yang dijadikan (syaitan) menganggap baik pekerjaannya yang buruk dia meyakini pekerjaannya itu baik, (sama dengan orang yang tidak ditipu oleh syaitan?"

Surah Faathir ayat 8.

Dengan kata lain, perbincangan bidaah adalah satu perkara yang seharusnya dipandang berat oleh seluruh umat Islam. Para ulama' secara khusus seharusnya memikul tanggungjawab memperbincangkan masalah ini dengan jelas menurut pertimbangan al-Quran dan as-Sunnah, bukan akal semata-mata.


Maksud Bidaah Dari Segi Bahasa

Bidaah dari bahasa Arab bererti sesuatu yang tidak ada permulaan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. :

"Katakanlah (Hai Muhammad): Tidaklah aku bid'an (yang terawal) dari rasul-rasul"

Surah Al-Ahqaf ayat 9.

Begitu juga perkataan bidaah diambil dari sifat Allah s.w.t. :


"(Allah)(badi'u) yang mencipta bumi dan langit"

-Surah Al-Baqarah ayat 117.

Ertinya Allah s.w.t. telah mengadakan (mencipta) bumi dan langit yang tidak wujud sebelum penciptaanya.

Kesimpulannya, dari sudut bahasa bidaah ialah sesuatu yang baru yang tidak ada contohnya dari masa yang lepas .


Maksud Bidaah Dari Segi Syarak

Maksud bidaah yang paling tepat dari segi syarak ialah satu perkara yang direkai dalam agama yang seakan-akan menyamai atau menyerupai hukum syarak yang bertujuan untuk pengabdian (menghampirkan diri) kepada Allah tetapi tanpa mempunyai sebarang dalil syarak yang sahih terhadap kesahihan perbuatan tersebut sama ada dari segi asal atau pun keterangan (istinbat) syarak dari dalil-dalil tersebut .

Perhatikan bahawa definisi bidaah merangkumi tiga fakta penting :-

1) Rekaan baru dalam agama yang menyerupai syarak
2) Bertujuan menghampirkan diri pada Allah s.w.t.
3) Tidak mempunyai dalil yang sahih atau contoh yang sahih berkenaan perbuatan tersebut.

Definisi oleh Imam as-Syatibi ini merupakan definisi yang paling tepat, kerana ia menjadikan bidaah sebagai lawan kepada Sunnah dan dengan itu kesemua bidaah adalah ditegah, sesat dan menyesatkan. Ini disokong kuat oleh hadis nabi s.a.w. :

"Setiap bidaah adalah sesat"

Riwayat Imam Muslim.


Kekeliruan(Persoalan)

Bidaah terbahagi kepada dua. Pertama, bidaah yang baik atau bidaah hasanah. Kedua, bidaah yang tidak baik atau dolalah. Membaca Yaasin pada malam Jumaat di masjid-masjid dan surau-surau termasuk dalam bidaah hasanah. Jadi, tidak salah untuk melakukannya.


Jawapan:

Wujudkah Bidaah Hasanah Di Dalam Syarak?

Allah s.w.t. telah berfirman :-

"Setiap jiwa akan merasai kematian"

Surah Ali-Imraan ayat 185.

Dengan begitu mudah sekali dapat kita fahami, bahawa perkataan setiap (kullu) di dalam ayat di atas tidak membawa maksud lain, kecuali kesemuanya tanpa sebarang pengecualian. Setiap jiwa dan dan yang bernyawa, samada manusia, haiwan, tumbuhan, malaikat ataupun jin, pasti akan merasai kematian. Tiada sebarang peselisihan atau salah faham terhadap ayat di atas.

Begitu juga dengan hadis nabi s.a.w. :

"Setiap bayi dilahirkan di atas fitrah (bersih lagi suci)"

Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Tidak dinafikan lagi, ayat di atas amat jelas sekali. Setiap bayi yang lahir ke dunia ini, tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama anutan ibundanya, adalah dilahirkan suci dan bersih, tanpa sebarang pengecualian.

Maka dengan ini, dengan kaedah dan kefahaman yang sama, dapatlah kita fahami dengan mudah hadis nabi s.a.w. :

"Setiap bidaah adalah sesat, dan setiap kesesatan adalah neraka (tempatnya)"

Riwayat Imam Muslim.

Jelas, tidak wujud sebarang bidaah hasanah (bidaah yang baik) di dalam syarak. Sebagaimana ayat dan hadis sebelumnya diertikan tanpa sebarang pengecualian, begitulah juga halnya dengan hadis di atas. Kesemua bentuk bidaah adalah sesat !

Sudah diakui oleh para ulama tanah air bahawa Yasin pada malam Jumaat adalah bidaah hasanah, manakala telah dinyatakan dengan dalil yang sahih di atas, bahawa tidak ada bidaah hasanah di dalam perkara ibadah. Maka dengan sendirinya persoalan tersebut terjawab.

Sebagai tambahan, menetapkan sesuatu amalan atau ibadat secara khusus pada malam Jumaat sahaja, adalah juga merupakan suatu larangan yang terang daripada nabi s.a.w. sebagai mana di dalam hadis baginda :

"Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan Qiyam daripada malam-malam yang lain"

Riwayat Imam Muslim.

Qiyam yang dimaksudkan di atas boleh kita ertikan dengan sebarang jenis ibadah, samada ianya solat, berpuasa, berzikir mahupun membaca al-Quran. Ini merupakan larangan yang jelas, dan kita selaku umat Islam dilarang keras mengingkari larangan baginda s.a.w.

Firman Allah s.w.t.,


"Pada hari ini telah aku sempurnakan agama kamu"

Surah Al-Maidah


Telah Allah s.w.t. janjikan di dalam ayat di atas bahawa agama kita, Islam telah pun lengkap dan sempurna, tidak lagi memerlukan kepada sebarang penambahan atau tokok-tambah

Kekeliruan(Persoalan)

Apakah sesuatu yang tidak dilakukan nabi itu tidak boleh dilakukan umat Islam? Padahal menurut kaedah fikah, apa yang disepakati baik oleh umat Islam maka ianya baik dan boleh dilakuakn. Contohnya Yasin pada malam Jumaat dan sambutan Maulidurrasul yang telah diterima sebagai sesuatu yang baik oleh umat Islam. Jadi, kalau ia tidak dilakukan, ia menjadi tidak elok pula.


Jawapan:

Pertama sekali, kata Imam as-Syafie di dalam kitabnya ar-Risalah, "Ibadah adalah amrun tauqifi (arahan yang terhenti). Segala jenis ibadah pada asalnya adalah dilarang, kecuali apa yang disuruh oleh nas yang sahih".

Oleh itu, berdasarkan kaedah di atas, memang tepat sekali jika dikatakan, di dalam perkara yang bersangkutan dengan ibadah, sesuatu yang tidak dilakukan oleh nabi s.a.w. tidak boleh (haram) dilakukan oleh umat Islam.

Kedua, terdapat pertikaian terhadap asal kaedah fikah yang digunakan di atas. Kaedah ini sebenarnya berasal dari sebuah hadis :

"Apa yang dipandang oleh al-Muslimun (umat Islam) baik, maka ia adalah di sisi Allah baik"

Menggunakan hadith ini sebagai dalil adalah lemah, kerana :

1) Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani telah membuktikan bahawa ia sebenarnya bukanlah kata-kata baginda yang sahih, sebaliknya hanya kata-kata sahabat baginda Abdullah Ibnu Mas'ud. Dengan sebab ianya hadis mauquf (perkataan sahabat), maka tidak boleh berhujah dengannya kerana ia berlawan dengan hadis nabi s.a.w. yang sahih dari perkataan baginda s.a.w., "kesemua bidaah adalah sesat".

2) Jika diteliti lafaz hadis dengan keratan yang lebih awal dari keratan di atas, ia menyebut "hati-hati para sahabat adalah sebaik-baik hati hamba abdi (kepada Allah) maka dijadikan mereka para menteri nabi-Nya….". Oleh itu, al-Muslimun yang dimaksudkan di sini adalah sebenarnya para sahabat.

3) Tidak adil diertikan al-Muslimun di atas dengan seluruh umat Islam, setiap individu muslim, kerana mereka yang nyata-nyata jahil tidak berhak untuk mengeluarkan pandangan dalam agama (ijtihad).

4) Terdapat banyak kenyataan dari Ibnu Mas'ud sendiri yang menyangkal hadis ini, contohnya perkataannya yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam at-Thabrani :

"Ikutilah dan janganlah kamu mereka-rekakan bidaah (perkara baru) sesungguhnya telah mencukupi bagi kamu (al-Quran dan as-Sunnah)".

Tambahan pula, pendapat orang ramai tidak boleh dijadikan hujah dan dalil syarak. Firman Allah s.w.t. :

"Dan andaikata engkau mentaati kebanyakan manusia di muka bumi, mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah."

Surah al-An'am ayat 116.

Dengan kata lain, menghukumkan setiap perkara yang dilakukan orang ramai adalah betul, maka itu adalah salah.

Ketiga, amalan sambutan hari kelahiran baginda s.a.w. juga merupakan satu rekaan atau bidaah yang terang. Tidak ada sebarang hadis ataupun riwayat daripada para sahabat bahawa mereka pernah menyambut dan meraikan hari tersebut, sedangkan jelas bahawa cinta dan kasih sayang mereka terhadap baginda s.a.w. adalah lebih hebat lagi berbanding kita.

Sebenarnya idea menyambut hari kelahiran orang-orang penting seperti para nabi merupakan satu ciptaan orang-orang Kristian. Sebagaimana kita sedia maklum, mereka menyambut Krismas (Christ = al-Masih yakni Isa, Mas = besar-besaran ) kononnya mengingati kelahiran nabi Isa a.s.

Di dalam sebuah hadis baginda s.a.w. bersabda :

"Jangan kamu semua mengagungkan aku, sebagaimana orang-orang Nasrani (Kristian) mengagung-agungkan anak Maryam (Isa a.s.). Sesungguhnya aku hamba Allah, maka katakanlah aku hamba Allah dan rasul-Nya"

Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Kita dilarang pula menyerupai orang-orang kafir :

"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka (tergolong dengan mereka)"
-Riwayat Imam Bukhari

Syeikhul Islam Ibnu Taymiyah telah membahas tentang sambutan seperti Maulidur Rasul ini dengan panjang lebar, di mana beliau mengutuk majlis dan festival rekaan ini yang mana tidak ada asalnya dari syariat yang asli.

Dengan ini, dapatlah dibuktikan bahawa fakta yang diberikan nyata-nyata bercanggah dengan riwayat baginda s.a.w. dan para sahabat yang sahih.

Kekeliruan(Persoalan)

Arab Saudi berpegang kepada fahaman Wahhabi. Mereka memang sudah sentiasa membaca al-Quran bukan sahaja setakat Yasin, malah seluruh al-Quran. Amalan yang dilakukan oleh orang Arab itu sesuai dengan suasana di dalam masyarakat mereka, manakala tidak sesuai dengan masyarakat kita. Orang Arab, walaupun tidak membaca Yasin pada malam Jumaat, tetapi mereka tidak meninggalkan amalan membaca al-Quran.

Jawapan:

Pertama sekali, Wahhabi yang dikatakan sebagai satu fahaman itu sebenarnya bukanlah seperti yang didakwa. Perlembagaan Arab Saudi ada tercatat bahawa mereka bermazhab Hanbali yang diasaskan oleh Imam Ahmad ibnu Hanbal, anak murid kepada imam mazhab kita, Imam as-Syafie, begitu juga dengan masyarakat di sana termasuklah para imam di Masjidil Haram.

Pada hakikatnya perkataan Wahhabi di ambil dari nama ulama yang memimpin gerakan ini, iaitu Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Gerakan ini bertujuan untuk memulihkan kemurniaan aqidah di Mekah dan Madinah, setelah banyak dipengaruhi unsure-unsur syirik dan amalan khurafat. Beliau sendiri juga bermazhab Hanbali.

Adalah amat tidak adil sekali jika mereka yang mengikuti gerakan ini secara langsung terus dituduh sebagai fahaman Wahhabi, tanpa sebarang sokongan yang bersifat ilmiah. Para pembaca dinasihatkan agar mengkaji dengan lebih mendalam tentang ulama ini, sebelum menghukumkan beliau membawa satu fahaman baru yang kononnya tidak sesuai diamalkan di sini. Rujuk juga kepada kitab-kitab karangannya, terutamannya Kitab at-Tauhid yang padat dengan sokongan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.

Kedua, bukankah sejak di bangku sekolah rendah lagi, telah diterapkan bahawa Islam agama sarwajagat, atau sesuai diamalkan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa sahaja? Tidak dapat dinafikan lagi, bahawa kita diutuskan dengan satu nabi yang sama dan satu nabi sahaja untuk kita ikuti, iaitulah nabi Muhammmad s.a.w. Wahyu yang diturunkan pula kepada baginda s.a.w. juga hanyalah dari Allah.

Jadi, mengapa pula ada yang dikatakan tidak sesuai di Malaysia, dan ada pula yang sesuai? Tambahan pula, masalah bidaah yang diperbincangkan berkait rapat dengan masalah ibadat. Mengikut kaedah :

"Tidak ada khilaf (perselisihan) di dalam ibadah"

Benar sekali kata nabi s.a.w. di dalam hadis baginda :

"Demi Yang Memegang jiwa Muhammad di tangan-Nya, akan berpuak-puak umatku sebanyak 73 puak, satu puak akan masuk syurga dan 72 puak lainnya akan masuk neraka. Para sahabat bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah? Nabi menjawab : Al-Jamaah."

Riwayat Imam al-Thabrani.

Di dalam riwayat yang lain :

Sahabat bertanya : Siapakah mereka (puak yang selamat itu) ya Rasulullah? Baginda menjawab : Yang satu itu ialah mereka yang berpegang dengan peganganku dan pegangan sahabat-sahabatku."

-Riwayat Imam Tirmizi.

Jelas di sini, Islam secara hakiki dan sebetulnya hanyalah satu, iaitu sesiapa yang berpegang kuat kepada sunnah nabi s.a.w. Dengan ini, kita disuruh mendengar semua pendapat, tanpa mengira sesiapa, dan mengikuti pendapat yang paling kuat berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah. Dengan kata lain, cuma akan ada satu pendapat yang paling tepat. Firman Allah s.w.t. :

"Maka sampaikanlah berita gembira kepada hamba-hambaKu yang mendengar semua pendapat, kemudian mengikuti yang terbaik (dari kalangan pendapat tersebut). Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang berakal."

Surah Az-Zumar ayat 17 dan 18.

Begitu juga Ashab berkata bahawa Imam Malik ditanya tentang orang yang mengambil sebuah hadis kerana tsiqah dari para sahabat Rasulullah s.a.w. :

"Apakah engkau melihat bahawa di dalam perselisihan ada kelapangan?" Beliau berkata, "Tidak, demi Allah, sehingga yang hak itu benar. Yang hak itu adalah satu. Adakah dua perkataan yang berlawanan itu benar semuanya?! Yang hak dan benar itu adalah satu. "

Dapat disimpulkan di sini bahawa tiada istilah 'sesuai' atau 'tidak sesuai di dalam perkara ibadah.

Kekeliruan(Persoalan)

Masyarakat kita pula kurang membaca al-Quran. Jika amalan membaca Yasin pada malam Jumaat dihentikan, dibimbangi kita tidak membaca al-Quran langsung. Ada baiknya membaca Yasin pada malam Jumaat.

Jawapan:

Sudah saya bawakan dalil yang jelas dan sahih daripada nabi s.a.w. bahawa baginda melarang menetapkan sesuatu amalan khusus pada malam Jumaat. Menurut kaedah usul fikah :

"Niat yang baik tidak membolehkan perkara yang haram"

Membaca Yasin pada malam Jumaat bukan sahaja tidak ada dalilnya dari nabi s.a.w. malahan terdapat larangan yang jelas. Meskipun niatnya baik iaitu untuk menggalakkan bacaan al-Quran, namun itu tidak memansuhkan larangan muktamad dari nabi s.a.w.

Jika sikap orang-orang Islam di Malaysia yang tidak rajin membaca al-Quran, maka sikap mereka yang harus dan wajib diubah, bukannya syariat. Di dalam semua hal yang berkaitan ibadah, sikap seseoranglah yang harus diubah dan disesuaikan dengan syariat, bukan syariat yang harus diubah untuk disesuaikan dengan sikap seseorang.

Kekeliruan(Persoalan)

"Barang siapa yang membuat perbuatan baru di dalam agama kami, maka ia adalah ditolak"

Untuk menghuraikan perkara itu, setiap umat Islam perlu bersikap terbuka. Di dalam fikah, terdapat ibadat, muamalat, munakahat dan jenayah. Oleh kerana itu, kita perlu melihat perkara ini dalam konteks yang lebih luas. Adakah perkara yang menjadi pertelingkahan itu termasuk di dalam ibadat syariat atau tidak, terdapat di dalam hadis tasrie atau tidak. Dengan itu barulah kita boleh faham dengan jelas, apakah perkara itu termasuk di dalam bidaah yang dibolehkan atau tidak.

Sebagai contoh, setiap hari apabila bangun dari tidur, Rasulullah s.a.w. memberikan salam kepada 9 orang isterinya. Adakah perkara itu termasuk di dalam sunnah yang wajib diikuti? Selain itu, Nabi mula-mula berkahwin dulu, dia berkahwin dengan janda. Adakah itu juga menjadi sunnah yang wajib diikuti?

Samalah juga dengan naik unta dan menulis di atas batu. Walaupun Rasulullah s.a.w. dulu naik unta dan menulis di atas batu, umat Islam kini boleh menggantikan unta dengan kenderaan lain dan boleh menulis dengan menggunakan komputer.

Jikalau bidaah yang dibuat itu melampaui batas, contohnya menambah bilangan rakaat di dalam solat fardhu, maka itu barulah dikatakan salah.

Jelaslah kepada kita, umat Islam yang melakukan amalan-amalan bidaah hasanah, tidak perlu dihalang.

Jawapan:

Dengan merujuk kepada kenyataan diatas, dengan jelas sekali boleh kita dapati betapa kelirunya kenyataan tersebut.

Kekeliruan pertama yang jelas dan dapat diperhatikan di sini ialah kekeliruan beliau berkenaan perbezaan antara bidaah dari segi bahasa dan bidaah dari segi syarak. Para pembaca bolehlah merujuk perkara ini di awal jawapan kami ini.

Kekeliruan kedua ialah pengklasifikasian terhadap perkara yang bersangkutan ibadah atau bukan ibadah.

Pada hakikatnya, Rasulullah s.a.w. juga memiliki sifat sebagai manusia dan sekali-kali tidak akan keluar dari darjat kemanusiaan ini. Firman Allah s.w.t. :

"Katakanlah (hai Muhammad) : Bahawa sesungguhnya aku adalah manusia seperti kamu semua, yang telah diturunkan wahyu kepadaku"

Surah al-Kahfi ayat 110.

Maka dapat kita katakan sifat baginda Rasulullah s.a.w. dapat dibahagikan kepada dua, iaitu :

1) Sifat baginda sebagai seorang rasul.
2) Sifat baginda sebagai seorang manusia biasa.

Oleh sebab itu segala sebutan dan perbuatan baginda yang bersangkutan dengan wahyu ataupun yang merupakan penjelasan berkenaan perkara agama, maka ia adalah menjadi hujah atau dalil yang wajib diikuti oleh seluruh manusia.

Adapun segala sebutan dan perbuatan baginda yang tidak bersangkutan dengan hal ibadat, iaitu hal keduniaan, maka ia bukanlah suatu hujah, boleh diterima dan ditolak sebagaimana pendapat manusia yang lain.

Dibawakan di sini sebagai dalil dari hadis nabi s.a.w. ketika beliau menjawab tentang kesalahan pendapat beliau berkenaan mengahwinkan pohon tamar jantan dengan pohon tamar betina :

"Sesungguhnya aku adalah seorang manusia. Sekiranya sesuatu perkara itu berkenaan agamamu, maka kepadaku (kamu merujuk). Dan sekiranya ia adalah perkara keduniaanmu maka aku adalah seorang manusia, kamu lebih mengetahui tentang duniamu."

Riwayat Imam Muslim.


Jelas di sini, perkara keduniaan seperti kenderaan dan komputer tidaklah boleh diklasifikasikan sebagai bidaah, lebih-lebih lagi dikatakan sebagai bidaah hasanah. Perkara ini pada hakikatnya adalah merupakan suatu perbincangan yang dikenali sebagai masalih mursalah, iaitu kemaslahatan orang ramai dalam memudahkan kehidupan seharian. Sekalipun dikatakan bidaah, ia hanyalah sekadar bidaah dari segi bahasa sahaja, kerana ia tidak mempunyai contoh dari nabi s.a.w.

Namun ingin ditegaskan di sini, bahawa perbincangan tentang bacaan Yasin tidak termasuk di dalam perkara keduniaan, kerana kita semua sudah mengetahui bahawa mambaca al-Quran, termasuklah surah Yasin, adalah merupakan suatu bentuk ibadah yang dusuruh oleh nabi s.a.w. Bagaimana bab kenderaan (keduniaan) dan bab membaca Yasin (ibadah) diklasifikasikan di dalam satu pengkelasan yang sama, sedang hadis nabi s.a.w. dengan jelas membezakan antara bab keduniaan dan bab ibadah?

Bagaimana pula kenyataan di atas membolehkan bacaan Yasin (bab ibadah) tetapi di dalam masa yang sama melarang menambah rakaat di dalam solat (juga bab ibadah)?

Di sini, ingin diperbetulkan juga tentang kenyataan bahawa umat Islam yang melakukan amalan-amalan 'bidaah hasanah' tidak perlu dihalang. Di dalam perbincangan-perbincangan di atas, jelas bahawa tiada bidaah yang diizinkan di dalam syarak. Maka mencegah perbuatan ini adalah wajib. Sedang Allah s.w.t. sendiri menahan amalan pembuat bidaah :

"Sesungguhnya Allah menyekat (atau menahan) taubat pembuat setiap amalan bidaah"

Riwayat Imam at-Thabrani, al-Baihaqi, al-Harawi dan lain-lain .

Begitu juga dengan hadis dari Aisyah r.a. :

"Sesiapa yang mendatangi orang yang membuat bidaah dengan tujuan untuk menghormatinya maka sesungguhnya ia telah membantu untuk menghancurkan Islam"

Riwayat Ibnu Waddhah dan lain-lain .


Dari Ibnu Wahb sahabat Imam Malik, beliau telah berkata :

"Berjimat dalam as-Sunnah adalah lebih baik dari bersungguh-sungguh dalam bidaah "


Dari Yahya Ibnu Mu'az ar-Razi telah berkata :

"Perselisihan manusia kesemuanya kembali kepada tiga usul, setiap satu mempunyai lawannya yang bertentangan. Sesiapa yang gugur dari berpegang dengannya maka ia jatuh ke dalam lawannya; iaitu tauhid lawannya syirik, as-Sunnah lawannya bidaah, dan taat lawannya maksiat "

Kekeliruan(Persoalan)

Selain itu, turut disentuh juga tentang amalan membaca talkin dan membaca al-Quran di atas kubur yang tidak dilakukan oleh nabi, tetapi turut termasuk dalam bidaah hasanah.

Membaca talkin dan al-Quran di atas kubur walaupun tidak dilakukan oleh nabi, tetapi dilakukan oleh sahabat. Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Kamu hendaklah ikut sunnahku dan sunnah sahabatku." Berdasarkan hadis itu, nyatalah kepada kita bahawa membaca talkin dan al-Quran di atas kubur itu tidak salah dilakukan kerana ia dilakukan oleh sahabat Rasulullah s.a.w. sendiri.

Jawapan:

Kami amat bersetuju dengan hadis yang disampaikan di atas. Namun begitu, kenyataan tersebut telah gagal membawakan dalil yang mengatakan para sahabat telah mengamalkan bacaan al-Quran di atas kubur.

Kata Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah :

"Andaikata sesuatu dakwaan tidak memerlukan bukti, maka hancurlah neraca kebenaran."

Sedangkan di dalam hadis baginda s.a.w., dengan sahih dan jelas baginda bukan sahaja melarang keras umatnya untuk membaca al-Quran di atas kubur, malahan baginda langsung melarang untuk duduk di atasnya.

"Janganlah kamu shalat dengan menghadap kubur, dan janganlah kamu duduk di atasnya"
Riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah.


Rasulullah s.a.w. sendiri tidak pernah duduk di atas kubur dan membaca al-Quran bagi umatnya yang telah mati. Persoalannya, adakah baginda s.a.w. tidak mengasihi umatnya? Adakah baginda tidak mahu umatnya umatnya menerima rahmat sesudah mati? Jawapannya, sudah tentu tidak. Firman Allah s.w.t. :

"Dia (Muhammad s.a.w.) sangat menginginkan keselamatan bagi kamu (agar dibimbing Allah, agar bertaubat kepada Allah, dan merayu kepada Allah agar mengampunkan dosa kamu, agar kamu dapat memasuki syurga dan selmat dari neraka) dan dengan orang-orang mukmin dia sangat pengasih dan penyayang."

Surah at-Taubah ayat 128.

Berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa baginda adalah seorang yang amat menyayangi umatnya, walaupun setelah mati. Namun mengapa baginda tidak duduk membaca al-Quran di kubur umatnya yang telah mati di zamannya?

Inilah yang dinamakan dengan sunnah tarkiah (peninggalan), iaitu meninggalkan perbuatan tersebut adalah sunnah, dan membuat perbuatan tersebut adalah bidaah.

Ingin juga diketengahkan di sini pandangan Imam Mazhab kita sendiri, iaitu Imam Syafie, yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibnu Katsir ketika beliau memberi tafsiran berkenaan ayat 39 dari surah An-Najm :

"Dan tidak adalah sesuatu apapun bagi seorang insan melainkan apa yang telah diusahakannya (ketika hidup)"

Kata al-Hafiz Ibnu Katsir : "Sebagaimana tidak memikul seseorang ke atasnya tanggungan (dosa) orang lain, sebegitulah pahala (orang hidup ke si mati) melainkan apa yang dia usahakan olehnya untuk dirinya sendiri, dan dari ayat mulia ini telah beristinbat (mengeluarkan pendapat) as-Syafie rahimahullah dan para pengikutnya, bahawasanya bacaan al-Quran tidak sampai pahala bacaannya kepada si mati, kerana ia bukanlah dari amalan mereka dan bukan juga usaha mereka dan dengan ini Rasulullah s.a.w. tidak menyuruh umatnya dan tidak menyeru kepadanya dan tidak pula membimbing kepadanya (amalan ini) dengan satu nas pun, dan tidak ada dinukilkan tentang perkara ini walau satu pun daripada para sahabat r.a., dan andaikata perkara ini baik, maka kami dahulu yang mengamalkannya."

Jelas, jangankan duduk di atas kubur sebagaimana yang dilarang nabi s.a.w., malahan membaca al-Quran dengan niat disedekahkan kepada si mati pun tidak pernah langsung dilakukan oleh para sahabat baginda s.a.w.

Kekeliruan(Persaoalan)

Imam Hambali sendiri pernah marah kepada umat Islam yang membaca talkin dan al-Quran di atas kubur. Bagaimanapun, apabila ada umat Islam menjelaskan kepada beliau yang perbuatan itu turut di lakukan oleh sahabat Rasulullah s.a.w., Imam Hambali terus membetulkan semula ijtihadnya dan tidak lagi melarang umat Islam melakukan amalan itu.


Jawapan:

Kenyataan tersebut gagal membawakan sebarang bukti dari mana-mana kitab karangan Imam Ahmad bin Hanbal sendiri, atau dari kenyataan para ulama muktabar yang lain. Apa yang ada hanyalah dakwaan yang kosong tanpa sebarang bukti. Kami dengan tegas menyuarakan, bawakanlah bukti-bukti atas setiap dakwaan, kerana hanya dengan bukti sesuatu kebenaran dapat diukur, bukan dengan hanya dakwaan kosong semata-mata.

Sekalipun jika terbukti bahawa Imam Ahmad bin Hanbal benar-benar pernah berkata demikian, ini tidak boleh terus di ambil sebagai hujah dalam menghalalkan sesuatu ibadah. Pandangan-pandangan para ulama muktabar yang lain, selain dari Imam Ahmad dan dalil yang digunakan oleh Imam Ahmad itu sendiri juga harus diambil kira. Seperti yang telah dinyatakan di atas, adalah amat baik bagi kita andai kita mendengar kesemua pendapat terlebih dahulu, kemudian memilih yang terbaik sebelum mengamalkan sesuatu amalan. Pendapat mana yang paling kuat disokong oleh nas-nas yang sahih, maka itulah pendapat yang terbaik.

Malahan, Imam Ahmad sendiri juga tidak menyuruh atau mewajibkan kita terus mengambil pendapat beliau, sebaliknya hujah beliau berkenaan sesuatu pendapat harus diambil kira. Kata Imam Ahmad bin Hanbal :

1) "Janganlah engkau mengikuti aku dan jangan pula engkau mengikuti Malik, Syafi'I, Auza'I dan Tsauri, tapi ambillah dari mana mereka mengambil "

2) "Pendapat Auza'I, pendapat Malik dan pendapat Abu Hanifah semuanya adalah pendapat, dan ia bagiku adalah sama, sedangkan alasan hanyalah terdapat di dalam atsar-atsar "

3) "Barang siapa yang menolak hadis Rsulullah s.a.w., maka sesungguhnya ia telah berada di tepi kehancuran "

Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani berkata ketika memberi komen terhadap perkataan para imam seperti kata-kata Imam Ahmad di atas :

"Itulah perkataan para imam di dalam memerintahkan untuk berpegang kepada hadis nabi dan melarang mengikuti mereka tanpa adanya penelitian. Perkataan-perkataan itu cukup jelas, sehingga tidak boleh didebat dan ditakwilkan lagi. Kemudian, barang siapa yang berpegang kepada setiap apa yang telah ditetapkan di dalam sunnah, walaupun bertentangan dengan perkataan para imam, sebenarnya tidaklah ia bertentangan dengan mazhab mereka dan tidak pula keluar dari jalan mereka. Bahkan ia mengikuti mereka dan berpegang kuat kepada ikatan kuat yang tidak dapat ditanggalkan. Sebaliknya, tidaklah demikian, barangsiapa meninggalkan sunnah yang telah ditetapkan hanya kerana bertentangan dengan perkataan mereka (para imam mazhab), maka maka mereka sesungguhnya telah menyalahi dan bertentangan dengan perkataan-perkataan para imam tersebut. Allah berfirman :

"Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkataan yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya"

Surah an-Nisa ayat 65.

Juga firman-Nya :

"Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintahNya takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih"

Surah an-Nur ayat 63.

Oleh sebab itu, boleh kita katakana di sini bahawa walau sekalipun benar Imam Ahmad pernah berkata demikian, maka pendapatnya haruslah dinilai semula kerana ia benar-benar bercanggah dengan hadis nabi s.a.w. berkenaan duduk di atas kubur dan juga pandangan Imam as-Syafie yang disokong kuat oleh ayat 39 dari surah an-Najm (rujuk perbincangan di atas).

Kekeliruan(Persoalan)

Kita sepatutnya menumpukan perhatian kepada perkara-perkara lain yang lebih penting bukan sahaja mengenai ibadat, tetapi juga muamalat, munakahat dan jenayah. Dengan itu, barulah umat Islam akan maju dan fikah tidak akan menjadi jumud.

Jawapan:

Kami di sini benar-benar mengakui bahawa perkara berkenaan bidaah ini telah jelas, dengan sokongan nas-nas sahih yang kami kemukakan di atas.

Bahkan di antara empat bab fikah yang dinyatakan, tidak dinafikan bahawa bab ibadah yang paling penting. Ini dapat dibuktikan dengan ikrar dan penyaksian kita di dalam kalimah syahadah kedua atau juga dikenali sebagai syahadah ibadah :

"Aku naik saksi bahawa Muhammad pesuruh Allah"

Jadi, andaikata kita berikrar bahawa nabi Muhammad s.a.w. itu pesuruh Allah, contoh ikutan kita, terutama di dalam bab keagamaan, bukankah mengamalkan ibadah yang tidak pernah ditunjukkan contohnya oleh nabi s.a.w. itu seolah-olah mengingkari ikrar kita sendiri? Masihkah kita layak menjadi saksi yang sah di sisi Allah?

Perkara ini tidaklah boleh dipandang remeh, tidak cukup diperbincangkan dengan akal dan sokongan nas-nas yang teramat kurang atau lemah. Setelah aqidah dan ibadah kita diperkuatkan dan dimantapkan dengan nas-nas yang kuat, tanpa sebarang ragu-ragu lagi, barulah perbincangan kita dialihkan ke bab-bab yang lain.

Kesimpulan

Setiap perbincangan haruslah dirujuk kepada ahlinya yang benar-benar mengetahui. Samalah juga dengan perkara ini. Para pembaca dinasihatkan agar merujuk kepada mereka yang benar-benar alim di dalam hal ini. Kami juga menasihati para pembaca agar mengukur seseorang berdasarkan tahap ilmu yang ada padanya, bukan pangkat yang dipegang atau jawatan yang disandang semata-mata. Ini amatlah penting dan harus selalu diingati.

Akhir sekali, ingin kami bawakan sebab-sebab mengapa pembuat bidaah selalunya keberatan untuk kembali ke jalan benar :

1) Usaha untuk berpatah balik mengamalkan semula dengan peraturan-peraturan syariat adalah sukar bagi seseorang pembuat bidaah yang telah biasa dengan ikutan hawa nafsu dan syahwat. Maka ini adalah perkara yang amat berat baginya kerana yang hak atau kebenaran itu adalah satu tanggungan yang berat yang memerlukan keikhlasan, kesabaran serta pengorbanan melawan tarikan hawa nafsu.

2) Pembuat bidaah sentiasa mempunyai cara pendalilan mereka sendiri yang mereka yakin bahawa pendalilan mereka itulah cara yang paling baik yang sebenarnya dikehendaki oleh syarak. Jadi tidaklah logik bagi pandangan mereka untuk meninggalkan cara pendalilan mereka itu yang mereka yakin adalah cara pendalilan yang paling baik serta sesuai denga kehendak hawa nafsu mereka walau pun bertentangan dengan syarak yang betul.

3) Pembuat bidaah juga berusaha keras dalam amalan bidaahnya untuk menghasilkan kemegahan dunia dari segi kemasyhuran, harta benda, pangkat, ramai bilangan pengikut dan lain-lain kehendak syahwat. Ia kononnya "berzuhud" supaya digelar dialah orang yang paling "zuhud" sekali. Atau pun ia mengeluarkan sesuatu pemikiran atau amalan supaya dapat bermegah dengan banyak bilangan pengikut yang taat setia kepadanya, atau untuk menunjukkan ia lebih bijak dari yang lain, atau mendapat faedah nikmat keduniaan darinya baik dari segi kewangan, pangkat, pujian dan lain-lain lagi. Jadi amatlah payah baginya untuk meninggalkan semua ini kerana "terpaksa" kembali membuat segala usahanya dengan benar-benar ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. serta menurut kehendak peraturan syarak yang lurus dan tidak menurut kehendak hawa nafsunya.

Dan Allah mengetahui yang sebaiknya.

Sumber dan rujukan dari:
Madrasah al-Wahidah

0 Kesan Parut: