Followers

Usha-Usha

Artikel

Template Terbaru

Di Sebalik UMNO/BN,PKR,DAP dan PAS!!!


(Untuk artikel ini,ana akan gunakan ganti nama diri "aku")


Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Aku mulakan dengan selawat kepada jujungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta keluarganya,sahabatnya dan orang-orang yang soleh.Dan aku juga mulakan dengan Bismillah dan Istighfar.Maka bermulalah...


Aku merupakan warga negara Malaysia tercinta.Dibesarkan di negeri yang kaya dengan bijih timah.Dilahirkan 28 tahun selepas negara mengecapi kemerdekaan.Aku hidup dalam keadaan sederhana.Alhamdulillah akan rezeki yang dikurniakan illahi.


Tanggal 8 Mac 2008 merupakan suatu detik paling bersejarah dalam hidupku kerana itulah pertama kali aku menjadi warganegara Malaysia yang mempunyai hak untuk memilih pemimpin yang ku sanjungi.Yang benar dan memegang Islam sebagai cita rasa hidupnya.Aku merasakan aku telah melunaskan tanggungjawab ku itu.Bukan untuk ku sahaja tetapi juga untuk Islam dan Melayu yang tercinta.


Kini selepas 14 bulan lebih PRU-12 berlalu,politik atau kata nama lain politikus hingusan terus menjadi mainan pelbagai pihak.Bukanlah niat aku untuk mebangkang atau menyokong membabi buta tetapi akal yang dikurniakan olehNya akan ku gunakan sebaik mungkin untuk menilai yang baik dan buruk.Itulah akal yang menguasai nafsu.Moga aku tergolong dalam golongan seperti ini.


Dulu aku sanjungi kerajaan pemerintah Malaysia yang memegang amanah Allah sejak kemerdekaan 1957.Barisan Nasional yang dimonopoli oleh United Malay National Organisation (UMNO) merupakan tunjang kepada perjuangan dan survival orang Melayu. Aku juga belajar sejarah dan sejarah merupakan mata pelajaran yang amat ku sukai hinggalah pernah aku mendapat kejayaan cemerlang daripadanya ketika di peringkat menengah.Itulah aku,cintakan sejarah agama,bangsa dan negara.


Benar kata orang,sebuah kereta belajar memandu L dan orang yang belajar memandu boleh mencerminkan kerajaan dahulu dan sekarang.Kenapa ya aku kata sedemikian?Seseorang yang pernah memandu kereta dan sudah tahu cara mengendalikan kereta serta tenang dan patuh pada ajaran guru memandunya,sudah tentu dia boleh belajar memandu dengan mudah.Kereta yang dipandu juga tidak tersangguk-sangguk dan tidak mati di tengah jalan.Juga tidak menyusahkan serta merisaukan pengguna jalan raya yang lain.Kontra pula bagi yang tidak pernah mahu tahu selok belok memandu kereta.Dpata sahaja lesen L terus pandu kereta.Terpaksa diajar begitu perlahan oleh gurunya.Sukar benar nak bawa tunggangannya.Enjin kereta beberapa kali mati.Silap-silap tension guru disebelahnya.Pemandu profesional lain risaukan keselamatan mereka.Keyakinan mereka pada pemandu yang baru pertama kali belajar memandu zero.


Apa pula kaitan dengan kerajaan sedia ada?Tidak aku nafikan kerajaan dulu sangat prihatin pada rakyat.Namanya sama iaitu UMNO tetapi silih berganti penerajunya.Dahulu memang bangsa dan agama yang dipertekan dan dipertahankan.Sanggup berbasikal dan berjalan kaki serta hidup susah bersama rakyat.Mahu mendapat kemerdekaan di London pun terpaksa mengumpulkan duit rakyat yang menderma dan menaiki kapal yang kosnya lebih murah.Bukan kolot menaiki kapal tetapi ada strateginya.Masa itu diambil dengan berbincang untuk meyakinkan British,kerajaan Kafir yang mengusai sebahagian besar dunia ketika itu,bahawa Malaysia sudah boleh hidup sendiri tanpa bertongkatkan mereka.Itulah pemimpin dahulu,bersama rakyat ikhlas.


Patah tak bertumbuh kembali.Itulah aku lihat sekarang di dalam UMNO kini.Tiada lagi ciri pemimpin seperti itu.Jika adapun hanya ahli-ahli akarnya sahaja.Pucuk pimpinan kini lebih pentingkan diri mereka,periuk nasi mereka serta konco-konconya.Memang benar UMNO pernah berjasa tetapi itu dahulu,hampir 50 tahun lalu.Kini orang lamanya ramai sudah masuk ke perut bumi.Yang tinggal hanya anak-anak serta cucu mereka yang mempunyai pegangan akidah politik yang sangat berbeza dengan nenek moyang mereka.Memang tidak dinafikan ada juga projek yang menguntungkan rakyat tetapi kebanyakkan ia bertumpu di bandar.Luar bandar masih seperti Malaysia ketika era 70 dan 80-an.


Ah,meluat pula aku ceritakan pasal UMNO ini.Dah tua rasanya mungkin.UMNO merupakan salah satu parti berlandaskan semangat kebangsaan.Kebangsaan memang penting tetapi yang menyedihkan apabila bangsa itu lebih penting dari agamanya.Kini yang sering dilaungkan mereka hanyalah bangsa,bangsa,bangsa.Di mana Islam?Jika benar mereka pertahankan Islam, di mana ianya termaktub di perlembagaan,pemerintahan,ekonomi,pendidikan dan gaya hidup masyarakat Malaysia?Hanya tertera Malaysia sebagai agama rasmi negara di perlembagaan?Itu sahaja?Ah senang sungguh mereka menyedapkan mata memandang.Apa pula terjadi pada salah satu perlembagaan yang menyatakan rakyat Malaysia bebas mengamalkan dan menganut mana-mana agama?Bukankah ianya terlalu umum dan boleh dimanupulasikan oleh orang tidak bertanggungjawab untuk membenarkan murtadnya orang Islam kerana kebebasan yang termaktub di dalam perlembagaan tersebut?


Islam hanya tinggal nama di dada pemimpin UMNO kini.Perjuangkan UMNO pada part yang mereka rasa tak tembak diri mereka.Jika ada yang macam terkena batang hidung mereka, maka dicantas dan dihalang ia dari disebarkan kepada umat Muhammad S.A.W.Hudud oh Hudud,ianya hak Allah.Tuhan semesta alam.Orang Islam yang menolak Hudud adalah orang Islam yang hanya pada nama.Sedangkan mereka boleh tergolong dalam golongan orang yang Fasik!Alasan diberikan negara Malaysia majmuk.Tak sesuai.Hudud hanya dijalankan kepada orang Islam yang berakal,baligh dan bukan kerana terdesak melakukan jenayah.Orang bukan Islam tidak dijatuhkan hukum Hudud kerana mereka tidak beriman pada AL-Quran dan As-Sunnah.Mengapa perlu ditakutkan golongan bukan Islam ini dengan mengatakan bahawa Hudud itu kejam dan menakutkan.Yang menakutkan ialah,orang Islam itu sendiri menolak Hudud.Bukan sahaja menolok malah mempermainkan isu hudud ini.Bagi mereka hukum jenayah sivil lebih moden dan layak diagungkan.Tiada lagi hukum jenayah Islam yang diamalkan di Malaysia melainkan di Mahkamah Syariah(hidup segan mati tak mahu).Aku masih ingat lagi,pesalah zina tidak dikenakan hukuman sebat 100 kali tetapi gantirugi sahaja mahupun penjara.Ah senangnya pemimpin ini menukar-nukar hukum Islam?


UMNO dan hiburan memang seiring dan sejalan.Sejak masuk zaman Mellinium ini,makain dasyat dipromosikan hiburan melampau.AF,One in the Million,Mentor,Musik-Musik,Malaysian Idol,Jom Heboh semuanya tumbuh seperti cendawan selepas hujan.Berlumba-lumba manusia terutamanya MELAYU ISLAM berebut peluang untuk mendekati pintu neraka dunia ini.Pemerintah mempunyai kuasa untuk menghalangnya.Mungkin mereka akan berikan alasan bahawa manusia perlukan hiburan.Adakah hiburan seperti itu yang dianjurkan oleh Islam?Melalak,bercampur gaul sesama lelaki dan perempuan.Sangat melalaikan.Pemerintah boleh menggunakan kuasa dan undang-undang untuk menangkis budaya hiburan melampau ini.Tetapi harapkan pagar,pagar makan padi.Habuk pun takda.Malah makin dasyat dipromosikan pelbagai bentuk hiburan yang melalaikan umat Islam dari mengingati Allah.Semua yang terkena ialah dari budak sekolah rendah hinggalah ibu bapa berumur hingga 50-an.Kalau yang tua pun enjoy juga, tak tahulah sempatkah bertaubat atau tidak.


Aku tak nafikan memang ada rancangan berupa agama dan nilai-nilai murni.Tetapi terlalu sedikit dan coverage serta promosi yang diberikan sangat sedikit.Lagipun benda yang halal ini telah dicampurkan dengan haram yakni hiburan melampau dalam perenggan sebelum ini.Halal dan Haram tidak boleh disatukan.Maka haram la jadinya.Itulah yang diperkatakan oleh Mujahid Islam abad ke-20 iaitu As-Syahid Imam Hassan Al-Banna.


Rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah menjadi darah daging mereka hingga tidak boleh disorokkan oleh UMNO sendiri.Sehinggakan ada pemimpin mereka mengakui terpaksa membanteras masalah kerosakan pimpinan zaman sekarang.Berebut-rebut macam ayam kelaparan mendapat kuasa,pangkat dan nama.Tahukah kamu?Seorang pemimpin telah pun menjejak sebelah kakinya di Neraka Allah S.W.T?Yakinkah kamu apa yang kamu pimpinkan? Berlaku adilkah kamu terhadap orang bawahanmu?Di mana kamu letak agamamu Islam untuk dirimu dan masyarakatmu?Sudah tentu kamu tak mampu menanggung seksanya menjadi pemimpin masyarakat.Janganlah gilakan kuasa kerana tatkala kamu mati,orang yang pernah menjadi office boymu akan berada di atas kuburan mu.Kamu pula dibawahnya.Hina bukan?Tiada yang lebih berkuasa melainkan Tuhan sekian alam Allah S.W.T.


Hah,pasti semua katakan aku ni anti kerajaan?Dulu memang aku rasakan seperti itu tetapi kini aku agak bercampur baur.Namun meluatku pada kerajaan tak surut.Namun menyampahku pada sesetengah tindakan pembangkang buatku mula kecewa dan tertanya-tanya,dimana politik yang tulus dan benar?


PKR dan Anwar Ibrahim (AI)tidak dapat dipisahkan.Peristiwa Reformasi 1998-1999 menjadi rentetan secara hitam politik negara apabila institusi kehakiman menjadi lembu yang ditarik hidung oleh pemerintah kuku besi ketika itu.Masa itu kasihan juga aku padanya.Namun dia juga pernah menjadi orang kuat UMNO suatu ketika dahulu.Kini apabila tiada kuasa,tumbuh parti baru untuk merampas kuasa dari parti yang menghinanya dahulu kala.Skandalnya yang pernah menggempar negara ketika dahulu menjatuhkan maruah diri dan keluarganya.Tetapi aku masih ragu-ragu adakah benar dan tulus hukuman yang dijatuhkan Mahkamah?Atau ada tangan ghaib yang memberikan arahan kepada badan bebas tertinggi negara ini?AH itu cerita lama.Biarlah yang memainkan serta memutarbelitkan kebenaran menerima azab yang pedih di akhirat kelak.


Berbalik pada AI,bagi pandangan ku PKR merupakan BN yang baru.Kebanyakan ahlinya adalah bekas ahli BN yang kecewa pada BN yang asli.AI menjadi kepalanya.Mereka perjuangkan keadilan.Itulah moto parti mereka.Namun bagiku,ahlinya serta pemimpinnya masih mempunyai pemikiran seperti BN dan UMNO yang telah diracuni penyakit rasuah dan gila kuasa BN dan UMNO.Lihat sahaja,AI telah mempromosikan budaya lompat parti dan kini ianya terkena pada batang hidungnya.Pakatan Rakyat (PR) tidak punyai wang untuk menarik ADUN dan Parlimen menyertai mereka.Hanya pujuk rayu mampu diberikan.Namun pemerintah yang kaya raya menggunakan senjata wang untuk mengelak perkara ini berlaku malah berjaya menarik wakil rakyat PR untuk menyertai mereka pula.Itulah terjadi kepada 3 ADUN Perak.


Dan AI,janganlah jadi seperti UMNO di mana Melayu menjualkan agamanya untuk mendapatkan kesenangan dunia semata-mata.Kelihatan AI juga tidak sebegitu menekan Islam dalam falsafah politik.Maklumlah mungkin hampri separuh ahlinya adalah bukan Islam.Takut mereka lari ke parti yang lain.Terkapai-kapailah AI.Ingatlah,rakyat Malaysia sedang melihat 3 watak penting di pentas politik negara ketika ini iaitu Najib,Anwar dan Hadi Awang.Mereka sebenarnya ada;ah harapan orang Islam Malaysia.Nampaknya Najib sudah terkeluar dari senarai harapan pemerintah yang mengagungkan Islam.Islam hanya dijadikan budaya sahaja dan bukannya cara hidup mereka seperti mana yang diajarkan oleh Al-Quran bergerak dunia iaitu Rasulullah S.A.W.Kini Anwar seperti mahu tunduk pada tuntutan kaum lain yang agak melampau.Moga diri aku sangat rasis tetapi perlu aku pertahankan Melayu juga kerana majoriti Islam Malaysia ialah Melayu.Moga Anwar yang bijak sana dapat tackle keadaan seperti ini.Jika AI tunduk sahaja,maka akan dihukum dalam pilihanraya umum akan datang.


DAP.Democratic Action Party.Aku sebenarnya terdetik dalam hati,mereka merupakan agen Lee Kuan Yew.Aku memang tak suka mereka tetapi aku lagi benci MCA.Memang aku jeles dan sakit hati tengok kaum tionghwa sudah berani mempersoalkan Melayu malah juga Islam.Mereka berani menentang apa yang telah diputuskan oleh Makhmah Syariah.Biadap sungguh.MCA dan DAP aku merasakan mereka masih bersahabat kerana cina walaupun luaran nampak seperti mereka bergaduh tetapi dalamnya,semangat kecinaan mereka menebal sejak kemerdekaan lagi.Mereka mahukan hak rakyat Malaysia di sama-ratakan.MCA dan DAP sama sahaja.Satu gabung dengan UMNO dan satu lagi gabung dengan PKR dan PAS.Kadang-kadang meluat juga aku tengok kelancangan mulut mereka mempermainkan Dewan Rakyat dan DUN.Tetapi itu hak mereka selepas dilantik oleh rakyat.Karpal Singh yang anti Islam memang aku benci dan sungguh geram dengannya.Kadang-kadang dia mengeruhkan keadaan hubungan baik Islam dan non-muslim di negara in.Namun di mana hilangnya ADUN Melayu Islam?Sudah layukah kalian?Muqabalah penting namun dalam hal ini,kedua-dua pihak sebangsa iaitu Melayu tetapi latar belakang kekuatan pegangan agama yang berbeza.UMNO kelihatan lemah dalam perjuangan Islamnya kerana taksub pada Melayu sahaja.Dan kini PAS pula yang nampak lebih kearah Islam makin hilang jati dirinya.


PAS,Parti Islam Se-Malaya pernah bergabung dengan UMNO dahulu ketika zaman kelancangan Cina pada peristiwa 13 Mei 1969.Demi menjaga kepentingan Islam dan Melayu,mereka sanggup mengetepikan agenda politik mereka untuk menyelamatkan maruah mereka yang kian tercabar. Namun setelah UMNO kembali kuat,PAS ditendang dan diinjak-injak bagaikan seksaan ibu tiri kepada anak tirinya.Apabila PAS bersendirian,mereka meneruskan cita-cita menegakkan syiar Islam dan aku sangat bersyukur punyai parti seperti ini.


Aku tidak tahu kenapa saat ini aku agak was-was dengan PAS.Bukan aku was-was dengan ulamaknya.Aku yakin pada kebenaran pewaris nabi ini.Cuma bukan semuanya dalam PAS adalah Ulamak.Takut mereka ada agenda sendiri.Aku sanjungi Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi Awang.Mereka idolaku.Bukan kerana hanya politik mereka tetapi juga semangat dakwah mereka.Tidak dijumpai dalam UMNO mahupun PKR.Aku agak terkejut apabila PAS bersetuju untuk bersama DAP membentuk PR bersama-sama PKR.PAS parti Islam meraikan rakannya dari parti yang memang nampak menentang Islam.Apakah?Namun aku yakin juga, PAS punyai agenda untuk menundukkan DAP.Maksudnya menukar prinsip DAP yang menentang negara Islam kepada menerimanya.Berjaya atau tidak,biarlah mereka,masa dan takdir yang menentukan.


Kini rakyat sedang meneliti tindak tanduk pemimpin mereka.Buat PR,Tolonglah tumpukan kepada pembangunan rakyat.Jangan hanya mencari kesalahan orang lain.Janganlah buka aib orang lain.Buat BN dan UMNO,janganlah ego dengan kuasa yang kamu ada.Kamu boleh runtuh bila-bila masa jika tidak insaf.Pada UMNO,mana Islam Cara Hidup mu?Kembalilah pada Islam. Kepada PAS,Kuatlah kamu pada Dakwah Islam dan Cara Hidup Islam dan jangan tunduk pada anasir gerakan anti-Islam.Dan kepada PKR dan AI,jagalah hati manusia yang pernah memberikan kemenangan besarmu dalam PRU-12 dan PRK dahulu.Banyakkan tenaga berkerja untuk rakyat daripada menggunakan lidah untuk menghentam orang lain.Pada DAP,MIC dan MCA,Melayu Pribumi Tanah Melayu.Islam tiba lebih awal dari kedatangan mu ke sini.Jangan sentuh bab Melayu dan Islam dengan kami.Pasti kamu akan menyesal.Aku masih perhatikan tindak tanduk parti-pari di atas,Cuma kini pilihan yang aku ada cuma sebuah parti yang banyak berlandaskan Islam berbanding dua buah parti yang lebih pada liberal dan nasionalisme.Aku hanya sokong dengan mereka walaupun mereka bersama-sama parti anti-islam kerana bagiku mungkin ia lebih afdhal dari sebuah parti yang majoritinya Islam tetapi menampakkan kejahilan mereka untuk mendaulatkan Islam di Malaysia.Sedangakan mereka dikurniakan kuasa namun mereka mensia-siakan ia.Aku amat benci pada mereka kerana aku sayangkan Islam lebih dari bangsaku walaupun hakikat kedua-duanya penting bagiku.Islam lebih penting buatku!!!Allah hu Akhbar!!!
Buat yang tidak puas hati/menyokong atau mahu memberikan pendapat tentang isu yang aku bangkitkan ini,silalah komen dan berikan pendapat.Aku juga manusia biasa yang sering melakukan kesalahan.

Nukilan,
Mohamad Khairil Faiz bin Sapari,
ADMIN Destinasimu...



0 Kesan Parut: