Followers

Usha-Usha

Artikel

Template Terbaru

Mengapa Islam Anjurkan Nikah?


Perkahwinan antara ibadah mendekatkan diri kepada Allah. Seorang mukmin yang berkahwin dengan ikhlas untuk memelihara diri daripada maksiat mendapat pahala dan ganjaran Allah.

Pergaulan bebas hari ini mudah menjerumuskan golongan belum berkahwin melakukan perkara dilarang agama seperti bersekedudukan dan seks bebas.

Justeru, untuk mengelak perkara yang boleh merosakkan kesejahteraan hidup bermasyarakat ini, Islam menganjurkan umatnya berkahwin serta membina keluarga bahagia berlandaskan syariat.

Pada masa sama, sebagai umat Islam, kita ingin mengikut serta memenuhi sunah Rasulullah SAW yang menjadi idola. Sabda Baginda SAW bermaksud:

“Nikah itu sunahku, siapa tidak suka sunahku, maka bukan ia daripada golonganku.” (Hadis riwayat Bukhari)


Sabda Nabi SAW:

“Kahwinlah kamu supaya kamu berkembang biak kerana sesungguhnya aku akan bermegah dengan banyaknya kamu di depan umat lain pada hari kiamat.”


Hadis itu menjelaskan kahwin perlu disempurnakan setiap umat Islam yang berasa dirinya mampu berbuat demikian. Walaupun Islam tidak mewajibkan kahwin, namun ia adalah suruhan dan anjuran yang tidak wajar diingkari.

Oleh itu, jika seseorang berkemampuan dari segi fizikal dan mental serta ditakuti melakukan perbuatan nista seperti zina, maka wajib ia kahwin. Jika tidak ada hal ditakuti tadi, sedangkan ia mampu dan sanggup berkahwin, maka hukumnya sunat, tetapi tidak digalakkan dalam Islam. Makruh seseorang berkahwin jika dia tidak mampu atau sanggup memberi nafkah selepas berkahwin.

Namun, perkembangan hari ini memperlihatkan sesetengah pihak menganggap perkahwinan tidak perlu bukan disebabkan tidak mampu sebaliknya sengaja memilih hidup solo kerana inginkan kebebasan mutlak. Islam melarang orang yang sengaja hidup membujang.

Ada juga yang tidak mahu kahwin atas alasan tidak mahu memberi nafkah atau memikul tanggungjawab menjaga serta memenuhi keperluan ahli keluarga. Ini sikap orang malas dan berlawanan syariat Islam.

Sabda Nabi SAW bermaksud:

“Satu dinar engkau belanjakan di jalan Allah dan satu dinar engkau belanjakan buat memerdekakan budak, dan satu dinar engkau belanjakan buat anakmu. Yang paling utama daripada semua itu ialah satu dinar yang engkau belanjakan buat anakmu.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


Diriwayatkan daripada Abu Dzar, Nabi Muhammad SAW bertanya Ukkaf Basir At Tamimi Al Hilali: “Wahai Ukkaf! Apakah engkau mempunyai isteri?

“Ukaff menjawab: Tidak.” Baginda SAW bertanya lagi: “Adakah engkau orang yang mampu dalam keadaan baik dirimu?” Jawab Ukaff: “Ya, aku orang yang mampu.” Mendengar jawapan itu, Nabi SAW pun bersabda seperti memberi keputusan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Jika begitu engkau daripada saudara syaitan. Jika engkau daripada kaum Nasrani, nescaya engkau termasuk pasturnya. Sesungguhnya sunah kami ialah nikah (kahwin). Sejahat-jahat kamu ialah yang tidak kahwin. Serendah-rendah orang yang mati daripada kamu ialah yang tidak mahu kahwin. Apakah dengan syaitan kamu akan berhubungan? Tidak ada senjata bagi syaitan yang lebih ampuh buat menggoda orang salih, lebih daripada meninggalkan perempuan (tidak kahwin).”



Md Ali Alhamidy dalam bukunya Godaan Setan menulis: “Menahan diri tidak kahwin, pada hal kesanggupan dan kemampuannya masih ada, ditambah memang Allah dan Rasul-Nya menganjurkan kahwin, maka ia akan menanggung hidup yang sangat berat, apa lagi jika nafsu syahwatnya datang merangsang, maka kemungkinan ia terjerumus ke dalam perbuatan nista.”

Sebelum terjerumus seperti kata Md Ali Alhamidy itu, elok yang dewasa, berkemampuan dari segi kewangan, berkeupayaan dan sihat tubuh badan segera menyempurnakan sunah Nabi SAW. Jangan tangguh kerana kahwin melahirkan zuriat yang akan membanggakan Nabi SAW di depan umat lain pada hari kiamat.

0 Kesan Parut: