Followers

Usha-Usha

Artikel

Template Terbaru

Romantiknya Rasulullah!


SOLAT MALAM DISISI ISTERI

Menunaikan solat malam merupakan kebiasaan bagi hidup Nabi SAW. kehebatan menunaikan solat malam ini, sehinggakan digambarkan dalam satu riwayat bahawa kedua kaki nabi SAW bengkak lantaran lama berdiri.

Imam At-Tarmizi meriwayatkan, daripada Al-Mughirah bin Su’bah berkata:

صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى انْتَفَخَتْ قَدَمَاهُ فَقِيلَ لَهُ أَتَتَكَلَّفُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا
شَكُورًا

Maksudnya;
“Rasulullah SAW menunaikan solat hingga bengkak kedua kaki Baginda. Dikatakan kepada baginda, apakah sebab kamu menyusahkan diri kamu ini, sedangkan kamu telah diampunkan dosa yang telah lepas dan yang akan datang. Berkata Baginda SAW, apakah tidak aku menjadi hamba yang bersyukur”

Kesungguhan Nabi Muhammad SAW dalam melakukan ibadat malam ini, sehinggakan dinyatakan oleh Aisyah bahawa, dalam keadaan uzurpun pasti baginda tetap dengan ibadat malam.

Imam Muslim meriwayatkan hadis, bahawa Aisyah berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَمُتْ حَتَّى كَانَ كَثِيرٌ مِنْ صَلَاتِهِ وَهُوَ جَالِسٌ

Maksudnya;
“sesungguhnya Nabi SAW tidak akan wafat hinggakan banyak solatnya ditunaikan dalam keadaan duduk”


Begitujuga, ketika sakit, baginda SAW tetap menunaikan solat malam mengikut kemampuan Baginda. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan dalam keadaan duduk, baginda akan menunaikan solat malam dengan membaca surah yang lebih panjang dari kebiasaan.

Hal ini merujuk kepada hadis daripada Hafsah binti Omar, isteri Baginda Nabi SAW berkata:

لم أر رسول الله صلى الله عليه وسلم قاعدا في سبحة حتى كان قبل موته بعام واحد أو اثنين ، فرأيته يصلي قاعدا في سبحته ويرتل السورة حتى تكون قراءته إياها أطول من أطول منها

Maksudnya;
“Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW duduk dalam solat sunat melainkan sebelum saat kewafatannya setahun atau dua tahun. Aku melihat baginda SAW menunaikan solat sunat dalam keadaan duduk, dan Baginda SAW akan membaca surah hingga bacaannya itu lebih panjang daripada bacaannya yang panjang-panjang”


Ketika berada dirumah, baginda SAW tidak menunaikan solat malam itu bersendirian, bahkan baginda akan membangunkan isterinya untuk menunaikan solat malam bersama-sama.

Imam Abu Daud meriwayatkan hadis, daripada Abu Hurairah R.A berkata, bahawa nabi Muhammad SAW berkata;

رَحِمَ اللَّهُ رَجُلًا قَامَ مِنْ اللَّيْلِ فَصَلَّى وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَإِنْ أَبَتْ نَضَحَ فِي وَجْهِهَا الْمَاءَ رَحِمَ اللَّهُ امْرَأَةً قَامَتْ مِنْ اللَّيْلِ فَصَلَّتْ وَأَيْقَظَتْ زَوْجَهَا فَإِنْ أَبَى نَضَحَتْ فِي وَجْهِهِ الْمَاءَ

Maksudnya;
“Allah merahmati kepada lelaki yang bangun malam untuk menunaikan solat, lalu membangunkan isterinya. Apabila isterinya enggan bangun, dia akan merenjis-renjiskan air pada mukanya. Allah juga merahmati isteri yang bangun malam, lalu membangunkan suaminya. Apabila suaminya enggan, dia akan merenjus-renjiskan air pada mukanya”

Pun begitu, kadangkala ada dari kalangan isteri baginda yang sedang haid, menyebabkan Baginda SAW tidak mengganggu mereka tidur. Dalam keadaan itupun, Baginda SAW tidak berjauhan dari mereka, sehingga menunaikan solat malam bersebelahan dengan isteri tersebut.

Ini disandarkan kepada hadis riwayat Al-Bukhari, daripada Maimunah R.Ha berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي وَأَنَا حِذَاءَهُ وَأَنَا حَائِضٌ وَرُبَّمَا أَصَابَنِي ثَوْبُهُ إِذَا سَجَدَ قَالَتْ وَكَانَ يُصَلِّي عَلَى الْخُمْرَةِ

Maksudnya;
“Rasulullah SAW sentiasa menunaikan solat disisiku, padahal ketika itu aku sedang berhaid. kadangkala ketika baginda sujud, pakaiannya terkenaku. Dia berkata (Maimunah), dia solat di atas tikar”


Juga hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, bahawa Aisyah R.Ha berkata:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً مِنْ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ فَوَقَعَتْ يَدِي عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ

Maksudnya;
“satu malam, Aku kehilangan Rasulullah daripada hamparan tidur. Lalu aku meraba-raba, didapati tanganku menyentuh tapak kaki Rasulullah SAW yang sedang menunaikan solat”


Nah !! dari ulasan ini, nyata kepada kita bahawa antara akhlak Nabi SAW adalah tidak pernah mengabaikan isteri-isterinya dalam melakukan ibadat, lebih-lebih lagi dalam menunaikan ibadat wajib dan ibadat sunat.

Dengan ini juga difahami, menunaikan ibadat tersebut, tidak semestinya mesti berjauhan dengan isteri dikala dia sedang berhaid. Bahkan, jika ditunaikan bersebelahan dengan isteri yang sedang tidur pun tidak mengapa, bahkan ianya lebih baik, disebabkan dapat menghindarkan dari timbul syak dalam hati isteri dikala isteri sedar dari tidur.

Disamping itu juga, apabila para suami menunaikan solat malam disebelah isteri, pasti isteri akan merasakan dirinya sedang dijaga walaupun si suami itu sedang menunaikan solat sekalipun.

0 Kesan Parut: