Followers

Usha-Usha

Artikel

Template Terbaru

Jangan biarkan ibu hidup sebatang kara


SEORANG wanita berusia dalam lingkungan 70-an tinggal erseorangan di rumahnya di sebuah pekan tidak jauh dari Kuala Lumpur. Anak-anaknya yang masing-masing mempunyai keluarga sendiri, tinggal berjauhan termasuk beberapa orang di ibu negara.

Tidak tahu mengapa wanita itu enggan tinggal bersama anaknya. Mungkin dia tidak selesa tinggal bersama mereka kerana tiada kebebasan seperti di rumah sendiri.

Anak-anak beliau pula jarang menjenguknya kerana masing-masing kesibukan dengan urusan kerja dan hal-ehwal keluarga.

Pada suatu hari, entah bagaimana salah seorang anak menelefon si ibu. Disebabkan telefon tidak diangkat, dia terus bergegas ke rumah ibunya. Alangkah terkejutnya si anak apabila mendapati si ibu sudah tidak bernyawa lagi di atas katilnya. Menurut doktor, si ibu telah meninggal dunia tiga hari sebelum ditemui.

Ini kisah benar yang diceritakan kepada Mualim oleh seorang rakan yang mempunyai pertalian keluarga dengan wanita berkenaan.

Mualim percaya anak-anak Allahyarham menyesal tidak sudah kerana membiarkan si ibu hidup sebatang kara. Apa salahnya pujuk si ibu supaya tinggal bersama salah seorang daripada mereka. Orang tua memang sensitif. Jika diajak sambil lewa, mereka tidak akan meninggalkan rumah sendiri sekalipun menghadapi pelbagai kesusahan hidup bersendirian.

Andainya si ibu masih berkeras tidak mahu meninggalkan rumah di kampung, apa salah menggaji seorang pembantu untuk menjaganya. Tentulah ada saudara-mara atau jiran yang sanggup menjenguknya setiap hari.

Paling tidak, jika ibu sudah tua dan uzur, pastikan menelefonnya setiap hari. Benarlah kata pujangga bahawa
seorang ibu boleh menjaga 10 anak, tetapi 10 anak tidak boleh menjaga seorang ibu.

Sebenarnya kisah ibu tinggal sebatang kara bukanlah fenomena yang luar biasa pada zaman sekarang. Ini zaman anak-anak tidak lagi tinggal bersama ibu bapa apabila dewasa, apatah lagi apabila sudah berumah tangga.

Ini juga zaman anak-anak kadang kala terlupa kepada ibu bapa, pada hal sebagai umat Islam mereka sentiasa diperingatkan supaya menjaga ibu bapa.

``Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Ku kamu kembali.'' 31:14

Jika difahami maksud ayat ini, barang siapa yang tidak berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa ertinya mereka juga tidak bersyukur kepada Allah.

Perubahan cara hidup ekoran kemajuan pendidikan dan pembangunan yang merubah pertanian kepada industri dan mendorong perpindahan dari desa ke bandar, turut mengubah struktur kekeluargaan besar di kampung kepada famili kecil di bandar.

Di kampung dulu, tali persaudaraan amat kukuh walaupun hubungan darah sudah agak jauh. Saudara dua pupu dirasai bagaikan adik-beradik. Seorang tua yang sakit di kampung akan dirawat oleh ramai sanak-saudara. Di bandar kini, seorang lelaki atau wanita tua yang kehilangan pasangan akan hidup kesunyian jika tidak tinggal bersama anak-anak.

Sepatutnya anak lelaki yang bertanggung jawab menjaga si ibu atau bapa, tetapi lebih lumrah anak perempuan yang memikul tanggung jawab ini. 

Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa lelaki sentiasa bertanggungjawab terhadap ibunya, tetapi wanita pula mestilah mengutamakan suami apabila berkahwin. Entah di mana silapnya, kita dapati pada zaman ini anak perempuan pula yang lebih bertanggungjawab terhadap ibu bapa.

Barangkali kaum lelaki lebih mentaati isteri daripada ibu bapa setelah berkahwin. Si isteri pula mudah merajuk jika suami memberikan lebih perhatian kepada ibu.

Keadaan ini amat pincang. Sepatutnya wanita mestilah memberikan layanan baik kepada ibu mertua kerana ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab mentaati suami. Si ibu yang dilayani menantu perempuan dengan baik, hendaklah membalas dengan kasih sayang sama seperti yang diberikan kepada anak lelakinya.

Namun perkara ini hanya mudah dicakap, tetapi sukar untuk dilaksanakan kerana kebanyakan manusia beriman kepada Allah dan Rasul hanya di bibir sahaja. Kepercayaan kepada kitab Allah (al-Quran) hanya bersifat ilmiah, iaitu sekadar untuk mengetahui isi kandungannya. Mengamalkan apa yang dipelajari jauh sekali.

Malahan lebih ramai yang menjaga hubungan dengan ibu bapa berdasarkan norma yang tidak berasaskan agama. Ini bukan sahaja berlaku di kalangan yang tidak berilmu agama, malah di kalangan orang-orang yang bergelar ustaz.

Jika berilmu tetapi tidak melaksanakannya, ertinya seorang itu sudah fasik. Lama kelamaan dia boleh kehilangan iman yang masih ada sedikit dalam dirinya.

Mualim tidak sengaja mengada-adakan cerita sebagai bahan ruangan ini. Seorang rakan Mualim yang berkelulusan Al-Azhar telah tidak bertegur sapa dengan ibu bapanya sendiri kerana perselisihan faham mengenai isterinya.

Akhirnya si ibu rakan Mualim itu meninggal dunia sebelum anaknya sempat menuntut maaf. Menangis air mata darah sekalipun, Mualim pasti si ustaz itu tetap melakukan satu dosa besar yang tidak patut dilakukannya. Nauzubillah.
(Dipetik dari Fauzynm.net)

0 Kesan Parut: