Secara umum, bagi suami isteri yang tidak ada cita-cita Islam, di waktu ada masa terluang, mungkin menjelang tidur, waktu rehat-rehat, selepas balik daripada kerja atau di waktu-waktu cuti, perbualan mereka biasa berkisar sekitar:
1) Makan minum, pakaian, keperluan rumah, melancong, duit,perabot, dan hal-hal mengenai dunia semata-mata.
2) Menceritakan hal ehwal jiran-jiran, keluarga, masa depan, masa selepas pencen dan bila hendak naik pangkat.
3) Cerita-cerita mengenai kerja di pejabat atau di sekolah terlalu banyak, tentang bos pejabat terlalu cerewet, guru besar suka menyinga, mengumpat dan mengata orang-orang tertentu yang mereka benci atau iri hati.
4) Di celah-celah itu mereka bertekak, kata-mengata, tuduh-menuduh, bertegang-tegang urat di antara suami isteri. Masalahnya ialah cemburu dengan suami, suami tidak beli itu, tidak mahu beli ini, tidak tunai janji, tidak mahu bagi duit atau kedekut sangat.
5) Suami pula tidak senang kerana isteri suka berleter, lebih suka tunjuk kasih kepada ibu dan ayah daripada suami, berkasar dengan anak-anak, masak tidak sedap, di luar bersolek, di rumah tidak mahu bersolek.
Itulah di antara perbualan-perbualan, perbincangan-perbincangan yang biasa dilakukan oleh suami isteri yang tidak ada cita-cita Islam. Cerita iman, cerita Islam, cerita ibadah, cerita akhlak, cerita Akhirat, cerita Tuhan, cerita dosa pahala, cerita bertaubat, cerita sembahyang, cerita bagaimana hendak mendidik anak-anak secara Islam dan cerita susah tentang gejala masyarakat yang tidak sihat, tidak ada di dalam kamus hidup mereka. Mereka tidak minat hendak bercakap tentang ini semua.
Oleh itu manalah hendak timbul kasih sayang di antara suami isteri. Manalah hendak dapat ketenangan jiwa. Manalah anak-anak hendak taat dan hormat kepada ibu bapa.
Manalah suami tidak jemu dan isteri tidak merajuk selalu. Tidak hairanlah mengapa anak-anak terlibat dengan gejala-gejala tidak sihat, perhubungan renggang dan lari dari rumah. Bagaimanalah hendak mendapat kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga.
Akhirnya berkahwin yang asalnya dengan tujuan hendak berhibur, tidak terhibur lagi. Hendak berseronok-seronok hanya waktu mula-mula berkahwin sahaja. Tidak sampai ke hujung. Akhirnya membawa kepada perceraian. Kalaupun tidak bercerai kerana takut berpisah dengan anak-anak, namun kehidupan suami isteri tidak ada apa-apa erti lagi. Kasih sayang sudah tiada, hormat-menghormati tidak wujud, bertolong bantu secara terpaksa, bermasam-masam muka selalu dan mudah sahaja bertengkar.
Anak-anak menjadi bingung, anak-anak benci duduk di rumah lalu mulalah liar. Tidak seronok di rumah. Suka keluar rumah untuk menenangkan fikiran. Akhirnya terlibat dengan dadah, rokok, bohsia, bohjan, budaya lepak, mungkin zina dan lain-lain perkara yang tidak sihat.
0 Kesan Parut:
Catat Ulasan