Followers

Usha-Usha

Artikel

Template Terbaru

Siapa Yang Keliru Sebenarnya?


Nabi Isa- Siapa yang keliru? 

Cukup menghairankan, tiga buah agama besar dunia iaitu Yahudi, Kristian dan Islam mempunyai pendapat yang berlainan antara satu sama lain berkenaan dengan dua perkara iaitu kelahiran dan kematian Nabi Isa a.s (Yesus), yang lahir di kalangan Yahudi. Yahudi mengisytiharkan bahawa kelahirannya adalah secara haram dan mereka tersalah anggap dengan membuat tuduhan yang menyedihkan terhadap Maryam, ibunda Nabi Isa. Mereka mendakwa dia tidak layak untuk ‘masuk dalam jemaah Tuhan’ kerana kelahirannya yang secara haram, larangan Tuhan. 

Dari segi yang lain pula, Kristian percaya bahawa Nabi Isa lahir adalah tanpa campuran daripada ‘ayah dunia’ dan dia adalah anak Tuhan sendiri. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua agama Yahudi dan Kristian mempunyai perbezaan pendapat yang ketara berkenaan dengan kelahiran Nabi Isa. 

Manakala orang Islam pula percaya bahawa Nabi Isa memang tidak dilahirkan dengan paduan ‘ayah dunia’ tetapi tidak mengatakan bahawa Nabi Isa adalah anak Tuhan. Kelahiran tanpa ayah memang agak aneh tetapi ia bukanlah satu perkara di luar kejadian semulajadi. Terdapat beberapa kes dalam sejarah perubatan yang mengatakan bahawa anak dara yang tidak bersalah telah melahirkan anak. 

Nabi Adam a.s yang merupakan nenek moyang bangsa manusia sepakat dipercayai oleh tiga agama besar dunia bahawa dia lahir tanpa ayah dan ibu. Islam mempercayai Nabi Isa adalah seorang nabi yang benar dari Tuhan. Kelahirannya tanpa campuran lelaki tidak membawa apa-apa kesan terhadap murid-muridnya dan takdirnya. Dia manusia biasa, suci dan sederhana. Nabi Isa seringkali menyatakan dirinya dalam Perjanjian Baru sebagai ‘anak Manusia’.

Berkenaan dengan kematian Nabi Isa pun juga menjadi isu pertentangan di antara Yahudi, Kristian dan Islam. Yahudi percaya bahawa Yesus mati di atas salib kerana dia adalah nabi palsu. Berkaitan dengan ini mereka mengambil petikan Bible.

“Apabila seseorang berbuat dosa yang sepadan dengan hukuman mati, lalu ia dihukum mati, kemudian kau gantung dia pada sebuah tiang. …sebab seorang yang digantung terkutuk oleh Allah, …” (Ulangan 21:22-23)

Menurut mereka, Nabi Isa adalah nabi palsu, oleh itu dia mati di atas salib dengan kematian yang dikutuk oleh Allah.

Kristian juga mempercayai bahawa Nabi Isa digantung di atas salib hingga mati dengan kematian yang terkutuk. Paul mengatakan; Kristus telah menebus kita dari kutuk hukum Taurat dengan jalan menjadi kutuk kerana kita, sebab ada tertulis:
“Terkutuklah orang yang digantung pada kayu salib!” (Galatia 3:13)

Tetapi Al-Qur’an mendakwa bahawa Nabi Isa tidak mati di atas salib. Tuhan telah menyelamatkan dia dari kematian disalib dan ini bererti bahawa Tuhan telah menghindari orang kesayangan-Nya dari penyeksaan. Tidakkah nabi Yunus a.s. keluar dari perut ikan dalam keadaan hidup?

Kejadian yang sebenarnya ialah Nabi Isa hanya jatuh pengsan di atas tiang salib, kemudian apabila diturunkan dia kembali pulih. Dia meninggal dunia dengan kematian secara biasa pada umur 120 tahun.

Berdasarkan keyakinan bahawa Nabi Isa adalah nabi palsu, Yahudi terutamanya golongan Farisi pada masanya membawa tuduhan politik yang serius untuk menentangnya. Mereka menuduh Nabi Isa tidak setia dengan Maharaja Rom dan mendakwakan dirinya sebagai Raja bagi orang Yahudi. Gabenor iaitu Pilatus tidak yakin dengan kesalahan itu namun kerana terpengaruh dengan kebisingan orang ramai, dia mengarahkan supaya Nabi Isa di salib. Mereka meletakkannya di tiang salib di mana dia tergantung hanya lebih kurang tiga atau empat jam, kemudian diturunkan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diletakkan di sebuah makam dalam kebun yang berdekatan. 

Pada masa itu, pesalah akan mengambil masa beberapa hari untuk mati di atas salib. Mereka menderita akibat kelaparan dan kehausan dan dalam kebanyakan kes kaki mereka dipatah-patahkan. Mereka mati secara perlahan-lahan berterusan sehingga beberapa hari. 

Walaubagaimanapun, kejadian seumpama itu tidak berlaku pada diri Yesus Kristus. Dia diletakkan di tiang salib pada waktu petang hari Jumaat. Hari berikutnya adalah hari Sabbath, adat hari agama bagi Yahudi, dan tidak harus ada orang yang tinggal di tiang salib pada hari Suci tersebut., jadi dia terpaksa diturunkan tiga atau empat jam sahaja selepas digantung. 

Kehilangan banyak darah dari lukanya menyebabkan dia jatuh pengsan. Dia dibawa sebagai orang ‘mati’. Tubuhnya diletakkan di sebuah makam dalam kebun oleh Yusuf Arimathea, muridnya sendiri. Yesus kemudian hidup kembali di dalam sebuah makam, kemudian berangkat pada hari ketiga dengan menyamar dan berjumpa dengan murid-muridnya di Galilea serta makan bersama-sama mereka. Lukanya sembuh selepas disapu dengan salap yang khas disediakan oleh murid-muridnya untuk tujuan itu.

Inilah cerita sebenar berkenaan dengan penyaliban Nabi Isa. Fahaman Kristian mengenai kematiannya bukan sahaja tidak tepat tetapi juga bertentangan dengan bukti sejarah dan akal yang logik. Mereka percaya bahawa Yesus benar-benar mati di atas salib, kemudian selepas hari ketiga dia bangkit dan naik ke langit. Sungguh aneh! Kristian moden bersandarkan kepercayaan bahawa Yesus mati di atas salib. Walaupun begitu, jika terbukti bahawa Yesus tidak mati di salib dan tidak juga bangkit dari kematian, maka seluruh asas Kristian akan jatuh. Paul, pengasas sebenar ajaran Kristian moden sendiri ada mengatakan:
“Tetapi andaikata Kristus tidak dibangkitkan, maka sia-sialah pemberitaan kami dan sia-sialah juga kepercayaan kamu.” (1 Korintus 15:14)

1 Kesan Parut:

Tanpa Nama berkata...

cam salah jew fakta tu... bukan ke nabi isa diangkat ke langit dan BUKANya pengsan di kayu salib n diturunkan pas2 mati ketika berumur 120 thn. check balik, n kalau saye yg salah sila betulkan dengan hadis sahih atau nas yg kukuh.. nyatakan sumber.