Followers

Usha-Usha

Artikel

Template Terbaru

Hilangnya Al-Quran Setelah Berlalunya Ramadhan


Bismillah. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah pemilik sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan. Semoga Allah merahmati kita semua. Terasa perbezaan yang ketara apabila berlalunya Ramadan. Masjid kembali lengang. Perasaan berlumba-lumba melakukan kebaikan kian hilang. Al-Quran entah ke mana. Seolah-olah Ramadan tidak memberi kesan walau sedikit. Walaupun baru seminggu lebih. Inilah isu umat Islam yang wajar kita ‘highlight’kan dan sama-sama kita berusaha selesaikan. Isu Al-Quran. Ia diturunkan Allah sebagai petunjuk jalan. Jalan kepada Allah. Kalau tidak, sesat dan tidak jumpa jalan asal. Sangat bahaya. Ubah ‘mind set’ kita, Al-Quran adalah segala-galanya! Saya tuliskan di sini akan jenis-jenis hubungan kita dengan Al-Quran. Agar kita sedar kita termasuk di dalam golongan yang mana:

1. Golongan yang menghafaz Al-Quran dengan baik, membacanya siang dan malam, dan beramal dengan segala tuntutan Al-Quran. Merekalah sebaik-baik golongan.

(خيركم من تعلم القرأن وعلمه) متفق عليه
‘Sebaik-baik kamu ialah mereka yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya’

2. Membaca Al-Quran tetapi tidak menghafaz sedikit pun daripadanya. Kepada mereka saya ucapkan tahniah dan sebenarnya anda telah mensia-siakan kebaikan kepada diri anda. Masakan tidak, anda telah mengosongkan hati anda daripada Al-Quran. Hati yang penuh bercahaya dengan nur Al-Quran akan membantu anda melawan nafsu dan syaitan. Sebaliknya ia akan menjadi sarang syaitan, hati yang kosong umpama rumah yang telah lama roboh. Na’uzubillah.

(إن الذي ليس في جوفه شيء من القرأن كالبيت الخرب) أخرجه الترمذي وغيره وقال حسن صحيح
‘Sesungguhnya perumpamaan bagi mereka yang hatinya tiada sesuatu pun daripada Al-Quran adalah umpama rumah yang telah roboh’

3. Ada juga mereka yang hanya suka mendengar bacaan Al-Quran tetapi langsung tidak membacanya apatah lagi menghafaz. Mungkin tidak pernah diajar membaca dan dilatih menghafaz sejak kecil.

4. Agak menyedihkan, ada golongan yang tidak menghafaz Al-Quran, tidak membaca dan tidak mendengar bacaan Al-Quran. Sekiranya dibuka televisyen dan siarannya ialah bacaan Al-Quran, cepat-cepat ditukar ‘channel’ tersebut.

5. Ada golongan yang menganggap Al-Quran ini hanya sebagai alat mendapat berkat semata-mata. Mereka tidak memahami bahawa peranan Al-Quran adalah lebih daripada itu, mamandu hidup manusia seluruhnya ke jalan yang benar. Tidak hairanlah jika kita melihat mereka meletakkan Al-Quran di ‘dashboard’ kereta bagi mengelakkan kemalangan, diletak di dalam bilik tidur agar tidak ditimpa bala atau kesusahan dan sebagainya. Bagi kita, kefahaman mereka ini wajib dibetulkan.

6. Ada juga golongan yang menjadikan hubungannya dengan Al-Quran hanyalah sekadar hubungan bermusim. Membacanya hanya di bulan Ramadan. Ataupun ketika ingin melaksanakan fardu haji. Begitu juga ibadah umrah ataupun jika ditimpa kematian. Habis musim, maka Al-Quran disimpan di tempatnya semula.

7. Tidak kurang juga bagi mereka yang hanya menyentuh Al-Quran ketika musim peperiksaan. Mujur ia dijadikan silibus, jika tidak ia langsung tidak diusik. Selesai pengajian, tiada lagi pembacaan mahupun pengulangan hafazan.

Pembaca-pembaca yang budiman, Kita wajib memperbaiki semula kefahaman kita terhadap Al-Quran. Ia adalah kitab hidayah. Panduan hidup. Bacalah ia, cubalah menghafaz, dan belajarlah untuk mempraktikkan apa yang terkandung di dalamnya. Moga hidup kita terpandu di bawah naungan Al-Quran. Kiaskan isu ini dengan perkara-perkara yang lain. Mengapa kita belajar? Mengapa kita mengikut tarbiyah? Adakah bermusim? Isu semata-mata? Bersaing? Adakah kita memahami Islam dengan kefahaman yang syumul? Ingatlah bahawa ‘muntolak’ kita Rabbani. Ta’abbudi. Kita bergerak di atas titik tolak perhambaan yang total kepada Allah. Maka dengan itu amal kita akan terus-menerus menuju destinasi yang dituju. Sumber:Blog akhbirni 'anil iman

0 Kesan Parut: