Followers

Usha-Usha

Artikel

Template Terbaru

Kisah Puasanya Si Miskin (Penuh Keinsafan)


Untuk renungan bersama bila kita dan keluarga berbuka puasa ....  
   
   
 Aku telah menemui sebuah rumah yang usang. Rumah itu hanya berdindingkan  
 buluh bertanggakan batang kelapa. Di serambi rumah itu ada beberapa anak  
 kecil yang kelihatan lesu dan letih. Aku hampiri mereka lalu bertanya  
 kepada yang paling tua antara mereka, seorang kakak yang berumur baru  
 kira-kira 11 tahun:  
   
 "Mana emak? "  
   
 "Mak pergi menoreh," jawabnya.  
   
 "Mana bapak?"  
   
 "Bapak pergi kerja..."  
   
 "Habis tu adik yang kecil ini siapa yang jaga?" Di situ ada seorang bayi  
 dalam lingkungan umur 5 bulan.  
   
 "Adik ini sayalah yang jaga." Jawab budak berkenaan.  
   
 "Awak ada berapa orang adik-beradik? "  
   
 "Sepuluh."  
   
 "Adik ni yang ke berapa?"  
   
 "Saya yang kelapan."  
   
 "Mana abang-abang kamu pergi?"  
   
 "Tolong emak menoreh."  
   
 "Adik puasa hari ini?"  
   
 "Sama je makcik, puasa ke tidak.. Kami ni makan sekali je sehari..."  
 Jawabnya.  
   
 Mendengar kata-kata itu aku sungguh terharu.  
   
 Lalu aku bertanya lagi "Adik bersekolah dimana?"  
   
 "Saya tak sekolah.. Emak bapak tak mampu..".  
   
 "Bapak kerja apa?"  
   
 "Tangkap ikan kat sungai nak buat lauk bukak puasa ".  
   
 Budak itu memberi tahu, lebih baiklah bulan puasa berbanding bulan lain  
 kerana pada bulan puasa mereka dapat makan kuih. Ada saja orang yang  
 hantar.  
   
 Aku berlalu dari situ dengan seribu-satu keinsafan. Kebetulan di simpang  
 jalan ada orang menjual daging lembu tempatan. Aku beli satu kilo tulang  
 lembu. Di kedai runcit pula, aku beli rempah sup dan sepuluh kilo beras  
 untuk disedekahkan kepada keluarga itu.  
   
 Bila saja aku beri barang-barang itu pada adiknya, dia melompat  
 kegembiraan  
 sambil menjerit "Yeh yeh..! Kita dapat makan daging malam ni..!".  
   
 Aku bertanya kepada si kakak mengapa adiknya girang sangat. Dia  
 memberitahu  
 aku, sejak dari raya korban tahun lepas baru sekarang mereka berpeluang  
 makan daging lembu sekali lagi.  
   
 Seminggu kemudian aku datang lagi ke rumah itu. Bila mereka melihat aku  
 datang, mereka girang menyambutku di pintu rumah. Kebetulan pada hari itu
 aku sempat berjumpa dengan ibu mereka.  
   
 Sungguh menyedihkan cerita yang aku dengar:  
   
 Anak yang berumur 4 tahun itu memberitahu padaku bahawa mereka sudah  
 seminggu makan sup tulang yang aku berikan hari itu.  
   
 "Tiap-tiap hari mak buat sup, sedaplah makcik.."  
   
 Aku bertanya kepada emaknya macam mana dia lakukan hinggakan sup itu  
 boleh  
 tahan sampai satu minggu?  
   
 Dia memberitahu padaku bahawa pada hari pertama dia merebus tulang itu,  
 dia  
 telah berpesan kepada anak-anaknya agar tidak membuangkan tulang yang  
 telah  
 dimakan. Dia kutip semula semua tulang-tulang itu dan merebusnya semula  
 untuk dimakan pada hari berikutnya. Itulah yang dia lakukan setiap hari.  
   
 Dia berkata "Kalau tidak dapat makan isi, hirup air rebusan tulang pun  
 dah  
 lebih dari cukup untuk anak-anak saya. Dia orang suka sangat."  
   
 Aku bertanya lagi "Upah menoreh berapa makcik dapat?"  
   
 "Cuma RM3.00 sehari."  
   
 "Ayahnya bekerja macam mana"  
   
 "Kalau dia dapat ikan itulah yang dibuat lauk setiap hari."  
   
 Rupa-rupanya aku terlupa bahawa aku sebenarnya hidup dalam keadaan  
 mewah..  
   
 
Pernahkah anda menghirup air rebusan tulang yang direbus semula sepanjang
 hidup anda? Atau adakah anda buang saja tulang itu beserta daging-daging  
 yang ada padanya kerana anda kata ianya "TAK SEDAP"?  
   
 Mungkin kita sudah terbiasa hidup senang hinggakan kita lupa bahawa kalau
 pun kita susah, masih ramai lagi orang yang lebih susah dari  
 kita........ ..  
(Jazakallah to Angah!)

0 Kesan Parut: