Songkok vs. Kopiah
“Tolong tukar kepada songkok, kalau tidak payah awak nak dapat projek ni,” cadang seorang kenamaan kepada saya beberapa tahun yang lalu.
“Kenapa dengan kopiah?”
“Awak faham-faham sendiri¬lah,” balasnya pendek.
Saya mengangguk sahaja walaupun hakikatnya saya belum benar-benar faham apa yang dimaksudkannya.
Apa kena-mengenanya antara kopiah atau songkok yang saya pakai dengan projek yang ditawarkan. Yang penting ialah reputasi dan kompetensi seseorang dalam melaksanakannya yang harus menjadi penilaian dan pertimbangan.
Bila saya cuba menjelaskan hakikat itu, tokoh itu berkata, “Ini soal sensitif. Ada orang dalam committee yang menilai tidak senang dengan kopiah putih. Awak tak kan tak faham.”
Sekali lagi saya terpinga-pinga apabila cuba memahami soal “ketidakfahaman” mereka dalam hal ini. Di mana rasionalnya? Lebih-lebih lagi, profesionalkah sikap ini?
______________________________________________________
Satu ¬ketika yang lain, kawan saya yang bersongkok pernah disindir apabila singgah di sebuah masjid di utara tanah air untuk mengerjakan solat jamak.
“Dia dah datang dah…” kata seorang lelaki ahli kariah setempat.
“Musim-musim macam nilah selalunya baru nak jenguk muka,” sampuk seorang lagi.
Kawan saya yang bersongkok itu terpinga-pinga, tidak faham apa maksud sindiran mereka yang berkopiah itu. Dia kebetulan hanya singgah di situ untuk mengerjakan solat. Hanya apabila dia membaca risalah-risalah, iklan-iklan ceramah dan poster yang ditampal di persekitaran masjid barulah dia faham. Rupanya dengan bersongkok begitu dia dianggap ahli parti politik lawan yang hendak “turun padang” ke kawasan itu. Dan musim itu ialah musim pilihan raya!
______________________________________________________
Seorang kawan saya yang lain pula meluahkan rasa hatinya betapa terujinya dia dengan memakai kopiah di tempat kerja.
“Saya dilayan dengan begitu curiga oleh bos sendiri,” katanya.
“Mengapa? Hanya dengan ber¬kopiah?” tanya saya kehairanan.
Dia mengangguk. Kawan saya disyaki membawa agenda politik ke tempat kerja. Padahal saya tahu beliau berkopiah sejak di sekolah rendah lagi. Dia anak seorang guru agama yang memang dibiasakan oleh bapanya berkopiah sejak kecil. Tidak ada kena-mengena dengan soal politik.
Saya masih ingat betapa praktikalnya memakai kopiah jika kita bermusafir dari satu tempat ke satu tempat. Kopiah senang dilipat dan dibersihkan ataupun dibasuh. Berbanding songkok yang perlu dijaga selalu. Jika terhenyak, apalagi kalau terduduk ia akan mudah terpesok. Namun kopiah juga ada “kekurangannya”. Apabila menghadiri majlis-majlis rasmi umpamanya, songkok kelihatan lebih segak dan manis bila dipadankan dengan baju Melayu (malah dengan pakaian kasual sekalipun).
Soalnya sekarang, apakah kita hendak bersongkok atau berkopiah? Atau lebih tepat lagi mana lebih baik, songkok atau kopiah? Pada saya, mana-mana pun boleh. Yang penting semuanya harus dipakai berdasarkan hu¬kum syariat, dan syariat juga mengiktiraf soal budaya serta adat setempat yang tidak bertentangan dengan agama.
______________________________________________________
Saya terbaca jawapan kiyai muda yang tersohor di Indonesia, Aa Gim (KH Abdullah Gymnastiar), apabila ditanya mengapa ada kalanya dia berserban, berkopiah atau kekadang tidak memakai apa-apa penutup kepala, dia menjawab:
“…Saya memutuskan untuk lebih fleksibel. Kadang berkopiah, kadang berserban dan kekadang tidak berkopiah atau berserban sama sekali, kerana ternyata Rasul pun begitu. Oleh kerana itu, kita tidak boleh mengikat diri kepada aksesoris tertentu. Yang penting kita berusaha menjadi lebih baik daripada topeng yang kita pakai…”
Aa Gim, walaupun saya rasa (maaf kalau tersilap) tampil berserban pada kebanyakan waktu dan keadaan, (kerana itu pakaian sunah dan tradisi orang soleh), tetapi tetap praktikal dalam menghadapi kepelbagaian suasana dan menangani keragaman keadaan.
Dan yang paling penting, jawapannya itu tidak memisahkan antara golongan yang berkopiah, bersongkok, berserban atau “gondol” begitu sahaja. Dan jawapannya merupakan satu didikan (tarbiah) untuk setiap golongan memperbaiki hati masing-masing.
Suatu masa dulu, ketika saya ingin tampil berceramah di sebuah organisasi bertaraf korporat, saya “dinasihatkan” agar menanggalkan kopiah.
“Kalau nak tutup kepala juga tuan, pakai sahaja songkok,” kata pengerusi majlis yang begitu cemas. Saya faham dia terpaksa menjaga hati banyak pihak dan pada masa yang sama dia tidak mahu mengecilkan hati saya.
“No problem,” jawab saya, “Kalau awak minta saya tak pakai apa-apa penutup kepala pun tidak mengapa asalkan saya boleh berdakwah!”
Ya, kalau apa yang saya pakai di kepala menjadi penghalang kepada apa yang saya ingin sampaikan dari hati nurani ini… maka biarlah kopiah atau songkok itu “terkorban”. Kita mesti bijak menilai keutamaan.
______________________________________________________
Demikian, rentetan kisah “remeh-temeh” tentang kopiah vs songkok dalam masyarakat. Kelihatannya sahaja kecil dan terpinggir namun itu hanya umpama “tip of iceberg” sahaja kepada persoalan dan permasalahan yang lebih besar di kalangan masyarakat – soal toleransi, kasih sayang, tahap kefahaman, pengurusan perbezaan, memilih keutamaan dan lain-lain yang sudah terhakis dalam hati dan diri umat Islam.
Kita seolah-olah mencari-cari sebab sahaja untuk bertelagah, curiga dan berprasangka. “Gila politik” tidak kira musim, tempat dan keadaan sehingga soal kita pakai di kepala pun mampu menimbulkan polemik. Padahal yang lebih penting ialah dahi itu yang sujud kepada Ilahi. Bukankah Allah, Tuhan kita itu satu?
DIPETIK DARI ARTIKEL MAJALAH SOLUSI EDISI KE-6
0 Kesan Parut:
Catat Ulasan