Followers

Usha-Usha

Template Terbaru

Lukisan Perjalanan Latihan Industri Hari Pertama

Pengenalan:

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

60 Hari bersamaan 2 bulan adalah jarak antara dua artikel yang saya masukkan di dalam blog ini. Satunya dibuat dua bulan lalu dan artikel ini dibuat 60 hari selepasnya.Tak sedar sungguh telah 2 bulan saya tinggalkan blog ini bersarang dan bersemak di dunia laman sesawang.Apakah daya,saya juga manusia biasa,memerlukan pemangkin untuk menulis dan mencoret di blog.

Adalah menjadi satu kewajipan bagi pelajar yang sedang menuntut ilmu di menara gading mengikuti satu latihan khusus yang diwajibkan oleh pihak kerajaan untuk melatih para siswa dan siswi menghadapi suasana alam pekerjaan dan ianya dikenali sebagai Latihan Industri/Internship/Industrial Training.Dan sebagai salah seorang dari ribuan siswa,saya tidak terkecuali dari menghadiri latihan industri ini selama 3 bulan.

Dari lebih 10 surat permohonan untuk memohon penempatan latihan industri,hanya 4 sahaja yang memberi jawapan positif iaitu Malaysia Palm Oil Board (MPOB),Carrier International Sdn.Bhd,Texas Instrument dan STAT ChipPac Malaysia Sdn Bhd.MPOB merupakan syarikat yang terawal menerima permohonan dan meluluskannya.Ketika itu saya masih belum menerima sebarang maklum balas positif dari syarikat lain.Yang terakhir menawarkan tempat latihan industri ialah STAT ChipPac iaitu kira-kira 2 minggu sebelum peperiksaan akhir semesterku.

Setelah berfikir panjang dan memikirkan baik buruk setiap tawaran,saya mengambil keputusan melakukan latihan industri di MPOB selama 3 bulan iaitu bermula 5 April-25 Jun 2010.Keputusan ini bukan dibuat sambil lewa kerana saya memandang banyak faktor iaitu:


  • MPOB adalah syarikat RnD dalam perladangan kelapa sawit.Ianya adalah sebuah agensi di bawah kerajaan dan dahulunya dikenali sebagai PORIM.

  • Di MPOB terdapat satu unit iaitu Unit Mekanisasi Perladangan yang dikhususkan untuk membuat penyelidikan dan pembangunan serta mereka bentuk dan mencipta jentera-jentera untuk keperluan dalam industri sawit negara.Banyak teknologi automotif boleh dipindahkan ke unit ini.

  • MPOB juga berdekatan dengan tempat penginapan saya iaitu 12km sahaja jaraknya atau mengambil masa kira-kira 15 minit perjalanan dengan menaiki motosikal.
Dengan segala persediaan yang ada merangkumi aspek ilmu pengetahuan,softskill dan ketahanan mental,saya telah bersedia mengharungi keseronokan dan kepayahan menjalani kehidupan sebagai seorang bakal jurutera pada masa depan.

Hari Pertama (ISNIN 5 APRIL 2010):

Pada tepat jam 8.20am saya telah melangkah masuk ke Unit Inovasi MPOB (Ibu Pejabat). Di tingkat 2, saya telah berjumpa dengan Puan Latifah Kisan, iaitu PIC yang menguruskan hal ehwal kemasukan pelajar LI MPOB. Saya juga telah bertemu dengan 2 orang pelajar dari UKM yang mengambil jurusan Kejuruteraan Kimia. Namun kami hanya berjumpa ketika itu kerana tempat LI kami berbeza, saya di Pusat Penjenteraan Perladangan (PPP) MPOB di Bangi Lama manakala mereka di HQ.

Urusan Pendaftaran di HQ MPOB

Melangkahnya saya memasuki PPP MPOB,jelas kelihatan seperti sebuah kilang.mendaftar di tingkat 3 dan terus berjumpa dengan Ir Abdul Rahim Shuib,Ketua PPP MPOB dan juga merupakan Penyelia Latihan saya selama 3 bulan. Sesi temuramah dan pengenalan di mana Ir banyak bertanya tentang latar belakang pengajian saya dan memberikan sedikit sebanyak penerangan berkaitan dengan Job Description selama 3 bulan saya berada di PPP MPOB.Sesi ini memakan masa hampir 30 minit dan kemudiannya saya terus dibawa ke bilik grafik dan diperkenalkan kepada 4 orang pelajar latihan industri yang telah menjadi senior kepada saya. Mereka ialah Zaitil dan Ikram (UniMaP),Fakhrul (UiTM) dan Zakwan (Poli Merlimau).Di sinilah tempat di mana menjadi meja pejabat saya selama 3 bulan di MPOB.


Untuk minggu pertama,tugasan yang telah diberikan oleh Ir Abdul Rahim Shuib ialah :


  1. Mendapatkan informasi dan pengetahuan berkaitan dengan MPOB,sejarah penanaman kelapa sawit,cara pemprosesan kelapa sawit dan industri yang bersangkutan dengannya. Saya juga diminta mencari perbezaan antara Palm Oil dan Oil Palm dan perbezaan ini boleh didapati banyak di internet dan perpustakaan MPOB.

  2. Serba sedikit mempelajari asas-asas software grafik yang digunakan MPOB iaitu Autodesk Inventor Professional 11. Belum ada spesifik lukisan yang perlu dilukis. Cuma cuba jaya dan pelajari dari rakan latihan industri yang lain.
Autodesk Inventor Professional 11

Hari pertama di MPOB melahirkan tanggapan baik saya kepada bidang pekerjaan umumnya dan di MPOB khususnya .Boleh disimpulkan untuk hari pertama ini, sehebat manapun kita, pabila memasuki 'kawasan' orang lain, kita perlu meletakkan diri kita di bawah dan senantiasa merendah diri dan menghormati orang lain.Berfikir positif itu penting. Tugasan saya berakhir pada jam 5.30pm dan hari kedua akan menyusul keesokkan harinya pada jam 8.30 pagi...

(Menyusul:  Lukisan Perjalanan Latihan Industri Hari Kedua)


Disediakan oleh,

Mohamad Khairil Faiz bin Sapari
ME 079742
Siswa Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal,
Universiti Tenaga Nasional.

0 Kesan Parut: